LAHAD DATU – Seorang pelajar berusia 17 tahun telah dicekup bersama-sama sejumlah 5.25 gram dadah yang dianggarkan bernilai RM787 pada hari Isnin lalu, kira-kira jam 3:30 petang.

Suspek yang berjaya diberkas ketika dalam satu kejadian di kawasan Taman Panji, Lahad Datu memberi alasan tindakannya mengedar dadah adalah bertujuan untuk membolehkan beban kehidupan keluarganya diringankan.

Menurut Asisten Komisioner Nasri Mansor selaku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, sepasukan anggota polis sedang menjalankan Op Tapis sebelum kejadian itu lalu terserempak dengan suspek dalam keadaan yang mencurigakan.

Suspek kemudian cuba untuk melarikan diri sebaik dirinya dihampiri polis, namun berjaya ditangkap dan diperiksa. Ketika pemeriksaan dilakukan, suspek sendiri telah bertindak dengan menyerahkan dadah yang disimpan di dalam satu paket lutsinar dan sembilan gulung kertas timah.

Siasatan lanjut mendapati bahawa suspek merupakan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di daerah ini dan bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Dia mengaku mula menjalankan aktiviti mengedar dadah sejak awal bulan September bagi mencari wang untuk meringankan beban keluarga selain terpengaruh dengan rakan.

Tambah Nasri lagi, remaja berkenaan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1957.

Difahamkan bahawa suspek lelaki dikenali sebagai ‘Abang’ dari Kampung Puyut, Lahad Datu telah membekalkan sumber dadah kepada suspek. Polis kini sedang giat menjalankan aktiviti untuk menangkap individu tersebut.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular