Menerima kunjungan tetamu yang tidak diundang adalah sesuatu yang mengejutkan. Itulah situasi yang dihadapi oleh sepasang suami isteri dari California ini apabila mereka dikejutkan dengan kehadiran seekor singa gunung di rumah mereka.

Ketika kejadian berlaku, Kathy 87 dan Edward Sudduth 84, dikatakan sedang menonton televisyen di rumah mereka di Sonora sebelum mereka mendengar bunyi bising. Pada awalnya mereka menyangka haiwan besar yang muncul di ruang tamu rumah mereka adalah seekor anjing tetapi selepas beberapa ketika mereka baru sedar bahawa haiwan tersebut adalah seekor singa gunung!

 

Terkejut dengan kehadiran manusia, singa tersebut terus berlari ke tingkat atas dan masuk ke dalam bilik mandi. Pasangan ini kemudian terus menutup pintu bilik mandi tersebut.

Pasukan penyelamat dari pejabat sheriff daerah Tuolumne yang datang selepas dihubungi kemudiannya terus ke tingkat atas dan di situlah pegawai-pegawai hidupan liar yang lain menemui seekor singa gunung. Sebuah status mengenai kerja-kerja menyelamat kemudian dimuat naik ke laman Facebook rasmi pejabat tersebut.

Di dalam status itu, sebuah video juga telah disiarkan dengan memaparkan bagaimana timbalan pasukan penyelamat itu cuba melepaskan haiwan tersebut dengan memukul dinding dalam usaha untuk menarik perhatian haiwan itu supaya melompat keluar melalui tingkap. Pada akhir video tersebut penonton dapat melihat bagaimana singa gunung itu akhirnya melompat keluar.

 

Menurut kenyataan Kapten Patrick Foy dari bahagian penguatkuasaan undang-undang Jabatan Ikan dan Hidupan Liar California, singa gunung itu kemudian berlari menuju ke hutan. Kejadian itu berlaku kerana pasangan tesebut memang sengaja membuka pintu hadapan rumah mereka kerana mereka mahu menikmati udara nyaman. Namun, mereka tidak menyangka semua itu boleh berlaku dan mereka mengambil iktibar di sebalik kejadian itu.

Antara kenyataan yang dimuat naik dilaman Facebook jabatan sheriff ialah dengan memberitahu bahawa singa gunung adalah spesies yang malu dan sering melakukan apa sahaja dalam keadaan senyap. Pegawai hidupan liar juga memberitahu bahawa penemuan spesies ini di kawasan di mana manusia tinggal adalah sesuatu yang tidak bahaya melainkan haiwan tersebut berkelakuan ganas dan agresif.

Untuk pengetahuan anda, haiwan ini adalah sejenis mamalia yang lebih dikenali sebagai ‘cougar’ atau puma atau nama saintifiknya Puma concolor. Spesies ini biasanya dijumpai di kawasan pergunungan Amerika utara dan selatan. Spesies ini menarik kerana ia dikatakan mempunyai genetik yang lebih dekat dengan kucing berbanding dengan genetik singa sendiri. Tidak seperti singa lain, singa gunung tidaklah sekuat atau mempunyai tenaga seperti singa. Jadi, untuk menyerang mangsanya, spesies ini akan melakukan serangan secara senyap dan tiba-tiba.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular