Isu pengambilan anak angkat bukanlah satu perkara yang baharu. Sejak dahulu lagi, sudah ramai pasangan atau individu yang membuat keputusan untuk menbesarkan anak angkat yang diambil dari pelbagai sumber.

Gambar hiasan | Unsplash

Kini, tidak dapat dinafikan bahawa semakin ramai yang mula bersikap terbuka apabila berbicara tentang isu pengambilan anak angkat. Hal ini mungkin kerana pada masa ini, semakin ramai individu yang berpengaruh yang telah mengambil anak angkat dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Dari selebriti sehinggalah ke pasangan diraja, perkara ini menjadi semakin normal dalam kalangan masyarakat termasuklah masyarakat di Malaysia.

Oleh sebab itu, sebelum membuat keputusan untuk mengambil anak angkat, seseorang individu perlu mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental. Jadi, menerusi entri ini, kami akan berkongsi 9 perkara yang anda perlu tahu sebelum anda membuat keputusan untuk mengambil anak angkat (kredit: Hello Doktor).

#1 Ketahui kemampuan anda

Gambar hiasan | Unsplash

Selain daripada kanak-kanak yang diambil dari pusat-pusat jagaan, ada juga kanak-kanak yang diambil terus dari keluarga mereka. Walau bagaimanapun, ada juga antaranya yang datang dari keluarga yang bermasalah sehingga mereka mempunyai trauma dan ketakutan yang tersendiri.

Oleh itu, sebelum mengambil mereka menjadi anak angkat anda, fikir semula tentang apa yang boleh anda tawarkan untuk mereka agar mereka tidak berasa terasing, malah boleh merasa seperti mereka benar-benar telah selamat dan tinggal dengan keluarga yang bahagia.

#2 Pastikan anda benar-benar boleh menyayangi mereka

Gambar hiasan | Unsplash

Isu pengambilan anak angkat bukan sahaja melibatkan kemampuan fizikal, malah, turut memerlukan kemampuan emosi anda dan bakal anak angkat anda.

Sememangnya tidak mudah untuk memastikan seseorang boleh menyayangi diri kita seperti mana yang telah kita lakukan, tetapi, setidak-tidaknya, berusahalah sebaik mungkin agar perasaan kasih dan sayang itu dapat dipupuk sepanjang mereka dalam jagaan anda nanti.

#3 Biasakan diri dengan kehidupan mereka terlebih dahulu

Gambar hiasan | Unsplash

Pada permulaan, cuba elakkan untuk terus-menerus mengawal kehidupan mereka. Mulakan dengan perkara yang paling ringkas. Misalnya, kekalkan jenis mainan, pakaian atau tempat tidur mereka terlebih dahulu sehinggalah tiba masa mereka mula terbiasa dengan persekitaran baharu.

Hal ini kerana, lazimnya kanak-kanak yang berasa janggal dengan persekitaran baharu cenderung untuk merasa tidak selesa kerana berlakunya perubahan yang drastik dalam kehidupan mereka.

#4 Jangan dedahkan status mereka secara membuta-tuli

Gambar hiasan | Unsplash

Perkara penting yang anda perlu sentiasa ingat adalah anda perlu sentiasa menganggap bahawa mereka adalah sebahagian dari keluarga kandung anda.

Jangan sesekali mengatakan bahawa mereka adalah anak angkat, terutamanya ketika anda berada dalam situasi tekanan seperti anak yang sedang menangis terjerit-jerit di tempat awam. Jika anda melakukannya, tanpa anda sedari, tindakan anda akan memberi kesan terhadap emosi mereka seiring pembesarannya.

#5 Belajar untuk menjadi ibu atau bapa yang sebenar

Gambar hiasan | Unsplash

Apabila anda membuat keputusan untuk mengambil anak angkat, ketahuilah bahawa anda perlu bersedia untuk belajar cara untuk menjadi seorang ibu dan ayah dan dalam masa yang sama meraih panggilan itu dari hati anak angkat anda.

Anda perlu bersedia dan berusaha untuk memenangi hati anak angkat anda agar mereka berasa selesa dan akhirnya menggelarkan anda sebagai ibu dan bapa mereka, dengan penuh rasa bangga.

#6 Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan

Gambar hiasan | Unsplash

Walaupun pada masa ini semakin ramai yang sudah bersikap terbuka dengan isu pengambilan anak angkat, namun, masih ada juga segelintir masyarakat yang masih tidak sensitif dengan perkara ini. Jadi, sebaiknya, bersedialah untuk menjawab soalan-soalan seperti “Anak angkat baharu ke?” atau “Ambil anak angkat di mana?”

Cuba jawab semua soalan dengan baik dan berhemah. Walau bagaimanapun, elakkan daripada menceritakan sejarah hidup kanak-kanak tersebut kepada orang lain.

#7 Bersikap terbuka dengan anak angkat anda

Gambar hiasan | Unsplash

Apabila anak angkat anda telah meningkat dewasa dan sudah boleh berfikir dengan baik, terangkan dengan baik kepada mereka tentang status sebenar mereka.

Berikan respon yang paling bersesuaian kepada setiap persoalan mereka dan kawal emosi anda sebaik mungkin. Perkara ini sememangnya agak sukar untuk dilakukan pada permulaannya, tetapi perkara ini penting untuk membantu mereka menghadapi sebarang kemungkinan di masa hadapan.

#8 Menangi hati anak angkat bersama-sama pasangan

Gambar hiasan | Unsplash

Jangan cuba untuk memenangi hati anak angkat anda secara bersendirian. Sebaliknya, cuba untuk lakukannya bersama-sama pasangan anda agar anak angkat tidak hanya melebihkan satu pihak sahaja apabila dewasa kelak.

Cuba bekerjasama dalam melakukan atkiviti harian bersama anak angkat anda. Misalnya, bergilir-gilir dalam urusan memandikan anak atau memberi makan kepadanya. Disamping itu, tindakan ini juga akan menambah keharmonian dalam keluarga anda.

#9 Nikmati masa tersebut

Gambar hiasan | Unsplash

Tahun-tahun pertama merupakan satu tempoh masa penyesuaian dan peralihan untuk kanak-kanak dan anda sebagai penjaga baharu. Pasti terdapat banyak kesukaran dan kejanggalan yang akan berlaku untuk menemukan titik persamaan antara anda dan anak angkat anda.

Walau bagaimanapun, nikmatilah tempoh tersebut sebagai satu tempoh masa pembelajaran untuk anda kerana tempoh ini akan memberi kenangan yang paling indah dalam hidup anda dan anak angkat anda.

Semoga bermanfaat!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Uncategorized

Video Popular