Setelah meneliti keterangan 30 saksi dalam inkues kes kematian seorang anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Balai Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Mahkamah Koroner pada Jumaat (27 September) memutuskan bahawa kematian Allahyarham adalah berpunca dari tindakan jenayah lebih seorang individu yang tidak dikenali.

Hakim Koroner Rofiah Mohammad dilaporkan mengumumkan keputusan itu setelah meneliti keterangan saksi yang selari dengan kes kejadian.

Menurutnya, kecederaan lung chest trauma yang dialami oleh Muhammad Adib adalah disebabkan oleh arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan.

“Ketika prosiding inkues Allahyarham juga telah mendedahkan dirinya telah ditarik dan perkara ini disokong oleh keterangan saksi yang turut diberitahu perkara yang sama.

“Saya merumuskan bahawa kecederaan lung chest trauma yang dialami Muhammad Adib adalah bukan perbuatan diri,” memetik kata Rofiah kepada Astro Awani.

Selain itu, Rofiah turut menegaskan bahawa serangan yang berlaku jelas menunjukkan kewujudan keganasan secara fizikal yang menggunakan objek keras terhadap pihak berkenaan.

Kenyataan ini juga disokong oleh keterangan salah seorang saksi yang melihat sekumpulan 20 hingga 30 orang individu yang seakan dalam pergerakan memukul mangsa yang dalam keadaan terduduk.

“Hal ini juga lebih jelas apabila saksi ini turut ditolak kumpulan tersebut dan jatuh sebelum menerima tendangan di bahagian bahu saksi yang kelihatan menyasarkan ke arah Adib,” tambahnya lagi.

Disamping itu, Mahkamah Koroner turut menyatakan bahawa kejadian ini turut disumbang oleh faktor pihak berkuasa yang gagal mengawal keadaan meskipun anggota bomba telah diserang sehingga menyebabkan kekecohan di kawasan kuil pada 27 November tahun lepas.

Selesai sesi bacaan keputusan, Rofiah menyerahkan keputusan itu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan yang seterusnya.

Allahyarham Muhammad Adib pertama sekali dilaporkan parah akibat terlibat dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariaman, USJ 25, Subang Jaya pada 2018.

Bagaimanapun, selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham meninggal dunia pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN).

Inkues kes kematian Muhammad Adib dijalankan dengan penerangan oleh 30 orang saksi termasuk beberapa orang saksi pakar dan 137 bahan bukti telah dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding akhirnya tamat pada 24 Julai yang lalu.

Berikutan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara simbolik telah menyerahkan kenaikan pangkat Gred KB22 kepada bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid pada 28 Disember lepas.

KPKT menyifatkan pengorbanan Muhammad Adib sebagai wira negara.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular