Kita dididik agar sentiasa mementingkan kesihatan bagi mengelakkan diri daripada terlantar sakit. Oleh demikian, sejak kecil lagi kita sudah diajar tentang aspek penjagaan dan kebersihan diri. Mencuci tangan dengan cara yang betul, mandi, gosok gigi, memakai pakaian yang bersih dan sebagainya.

Bagi golongan kanak-kanak, penjagaan gigi adalah satu perkara yang amat penting dan perlu dititikberatkan oleh semua ibu bapa. Kita dilarang untuk menikmati makanan manis selain perlu menggosok gigi setiap kali selepas makan. Jika tidak, gigi kita akan menjadi rosak dan akhirnya membinasakan diri di kemudian hari.

Seperti kisah seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang disahkan mengalami bengkak gusi yang teruk sehingga menjejaskan keadaan muka kanak-kanak tersebut. Kisah ini telah dikongsikan sendiri oleh Dr. Azila MK yang terkejut apabila pertama kali melihat keadaan wajah anak kecil ini.

“Suatu pagi Jumaat sebaik sahaja aku parkir kereta di hadapan klinik, aku disapa oleh seorang perempuan muda yang meminta aku untuk merawat anaknya. Aku meminta wanita itu untuk menghubungi klinik bagi membuat temujanji terlebih dahulu. Tiba-tiba dia menarik seorang budak perempuan kecil lantas ditunjukkan mukanya kepada aku”.

Azila MK

Tergamam dengan keadaan yang dilalui oleh kanak-kanak itu, Dr. Azila terus mengarahkan wanita terbabit untuk masuk ke klinik dan terus menjalani rawatan pemeriksaan dengannya. Berdasarkan cerita si ibu, anak kecil ini mula mengalami sakit gigi pada bahagian atas kanan selama tiga hari. Bimbang dengan keadaan si anak, ibu ini terus membawa anaknya mendapatkan rawatan di klinik A.

Ketika itu, doktor di klinik tersebut memaklumkan bahawa terdapat lubang yang besar pada gigi geraham susu sehingga terkena pada saraf. Bagi merawatnya, rawatan saraf atau pulpotomi perlu dilakukan tetapi doktor berkenaan hanya memberikan ubat tahan sakit dan juga ubat antibiotik. Tidak berpuas hati, ibu ini segera membawa anaknya ke klinik B pada hari yang sama bagi membolehkan anaknya mendapat rawatan pulpotomi. Namun malangnya, doktor tersebut hanya mampu memberikan tarikh untuk pesakit datang semula ke klinik bagi menjalani rawatan saraf (mungkin kerana temujanji sudah penuh).

Azila MK

Pulang dari klinik, ibu ini mendapati wajah anaknya membengkak dengan sangat teruk sehingga menutupi matanya! Keadaan ini disebut sebagai facial cellulitis atau jangkitan bakteria pada wajah. Dr. Azila telah memberikan dua jenis ubat selain meminta si ibu untuk memantau keadaan anak selama 24 jam. Pada hari ketiga, bengkak di muka kanak-kanak ini mulai surut dan beliau mula menjalankan prosedur mencabut gigi geraham susu yang berlubang itu.

Azila MK

“Gigi berkaries perlu dicabut bagi mengelakkan ia membengkak semula. Sekiranya terjadinsituasi ini ianya boleh membawa maut. Gusi yang bengkak, bakteria boleh merebak ke dalam otak. Keadaan ini dikenali sebagai sepsis. Sepsis boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti masalah buah pinggang, paru-paru, otak dan jantung hingga menyebabkan kematian”.

Jadi, ibu bapa haruslah sentiasa beringat dan tidak mengabaikan kebersihan gigi anak kecil. Bagi situasi pesakit ini, dimaklumkan bahawa setiap pagi anak ini akan diberikan makanan manis seperti coklat Kinder Joy selain tidak mengamalkan rutin pembersihan gigi dengan betul.

Azila MK
Di samping itu, Dr. Azila turut berkongsi tanda-tanda jangkitan dalam mulut iaitu:

  • Nafas berbau busuk
  • Rasa pahit dalam mulut
  • Demam
  • Sakit gigi
  • Gigi lebih sensitif
  • Gusi bengkak
  • Kelenjar bengkak pada leher
  • Bengkak rahang

Justeru, sekiranya anda mengalami tanda-tanda seperti yang dinyatakan di atas, anda perlu segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan. Jangan sesekali biarkan kerana ingatlah, ianya boleh membawa maut!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular