Isu rokok bukanlah sesuatu perkara yang baharu untuk dibahaskan. Walaupun sudah jutaan iklan dan kempen berhenti merokok dilakukan namun bilangan mereka yang merokok masih tinggi dan membimbangkan.

Gambar Hiasan/Maxpixel

Di Malaysia sendiri rokok boleh didapati di mana-mana pun. Asalkan berumur lebih daripada 18 tahun, golongan tersebut boleh membeli rokok di kedai-kedai tanpa ada sesiapa yang menghalang mereka.

Semua orang tahu betapa bahayanya merokok dan jika diperhatikan pada kotak rokok tersebut sudah terpapar gambar-gambar grafik dan amaran dengan tujuan untuk memberi ‘keinsafan’ kepada perokok namun usaha tersebut nampaknya masih belum berhasil.

Sebenarnya banyak ‘nikmat’ yang tidak dapat dirasai oleh mereka yang merokok dan ini adalah sesuatu yang sangat merugikan! Buat para perokok di luar sana, sudah tiba masanya untuk anda berhenti merokok kerana jika terlambat anda mungkin tidak berpeluang menikmati apa yang seharusnya anda nikmati ketika pada hayat anda…

Lebih peka

Gambar Hiasan/Maxpixel

Ketagihan boleh memberi kesan buruk kepada mental seseorang perokok. Hal ini kerana otak mereka mengandungi terlalu banyak kandungan nikotin daripada rokok yang disedut setiap hari.

Oleh itu, dengan berhenti merokok dapat mengembalikan kesihatan mental yang lebih baik dalam jangka masa yang panjang. Mereka kurang tertekan dan cemas sehingga membolehkan mereka mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik.

Kecergasan fizikal

Gambar Hiasan/Photo-AC

Asap rokok yang disedut akan membuatkan paru-paru terdedah kepada bahan kimia yang berbahaya. Jadi, dengan berhenti merokok hanya selepas 12 jam boleh meningkatkan kandungan oksigen. Oleh itu, kurangnya karbon monoksida boleh membuatkan seseorang lebih mudah untuk bernafas.

Selain itu, dengan merokok seseorang perokok boleh menghasilkan kadar denyutan nadi yang lebih banyak dan hal ini boleh meningkatkan risiko untuk mendapatkan darah beku, kolesterol yang tinggi dan penyakit jantung.

Kadar degupan jantung akan kembali normal selepas 20 minit pada perokok yang berhenti merokok. Selain itu, tekanan dan peredaran darah mereka hanya akan pulih dengan baik hanya selepas beberapa bulan mereka berhenti merokok.

Kesan terhadap deria rasa dan bau

Gambar Hiasan/Photo-AC

Rokok sebenarnya boleh merosakkan hujung saraf di hidung dan mulut yang melibatkan deria rasa dan bau. Hujung saraf hanya akan mula pulih dalam masa dua hari selepas mereka berhenti merokok dan selepas itu barulah deria rasa dan bau mereka akan kembali ‘sihat’ semula.

Meningkatkan keyakinan diri

Gambar Hiasan/Maxpixel

Rokok sememangnya boleh menghitamkan bibir dan gusi. Tidak hanya itu tabiat merokok juga mengeringkan kulit dan rambut dan hal ini boleh menyebabkan jerawat, kulit rapuh dan rambut kusut.

Namun begitu, selepas perokok berhenti merokok, bibir, gusi dan kulit mereka secara beransur-ansur akan mulai membaik dan rambut kembali bersinar dan kuat.

Kesihatan yang baik

Gambar Hiasan/Photo-AC

Semua orang tahu bahawa dengan berhenti merokok tahap kesihatan akan lebih terjamin. Tubuh akan menjadi lebih cergas malah otak juga lebih cerdas dan sihat. Tidak hanya itu, organ dalaman juga mendapat impak yang positif serta tahap imuniti juga dapat ditingkatkan.

Penyelidikan menunjukkan bahawa dalam masa 5 tahun perokok berhenti merokok, risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok boleh diturunkan sebanyak 38% berbanding jika mereka terus merokok.

Ya, bukan mudah untuk menghentikan ketagihan merokok, namun semangat dan motivasi yang tinggi harus ada dalam setiap diri mereka yang merokok supaya mereka terus kekal untuk tidak menyentuh walaupun sebatang rokok. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan!

Sumber: Hello Health Group

Maybe you're interested :

Share

Video Popular