Menjadi warganegara Malaysia yang prihatin, kita pasti sedia maklum bahawa kos penjagaan kesihatan khusus bagi rakyat tempatan di hospital kerajaan adalah antara berpatutan dan termurah serta terbaik di dunia. 

Dengan hanya membayar RM1, setiap pesakit boleh mendapatkan nasihat dari doktor terlatih dan berpengalaman, termasuk preskripsi ubat-ubatan secara percuma. Sekiranya, dalam kes penyakit yang disyaki serius, ujian darah dan sinar-x akan dijalankan tanpa sebarang bayaran.

 

Gambar Hiasan | Pixabay

Walaupun anda terpaksa menunggu lama sekiranya kes tidak mendesak, namun apa lagi yang anda boleh harap dan luahkan selain berasa bersyukur dengan kemudahan serta penjagaan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan.

Demikian perasaan bersyukur yang diluahkan oleh seorang netizen @TijanTijan87 di laman Twitter.

Dalam perkongsiannya di Twitter, Tijan menceritakan bagaimana ibunya telah dimasukkan ke hospital di Sarawak kerana didiagnos dengan sista ovari dan apa yang mengejutkan ialah kos perubatan termasuk pembedahan yang perlu dibayar oleh ibunya, hanya berjumlah RM50 dengan jumlah keseluruhan perlu dibayar sebanyak RM214 dan itupun ditanggung oleh perlindungan insurans. 

Menurut Tijan, ibunya telah didiagnos dengan sista ovari pada tahun lalu selepas mengadu sakit di bahagian perutnya yang semakin membesar dan kitaran haidnya pula tidak teratur. Mereka telah pergi ke Klinik Kesihatan terdekat dan menjalani pemeriksaan ultra bunyi lalu menemui sista tersebut, sebelum dirujuk ke Jabatan Ginekologi di Hospital Besar Sarawak, Kuching.

Selepas menunggu beberapa ketika, ibu Tijan akhirnya telah dinasihatkan oleh doktor pakar di hospital untuk menjalani pembedahan membuang sista tersebut yang nampaknya tidak menyusut dan hilang dengan sendiri.

Ibu Tijan akhirnya telah selamat menjalani pembedahan pada bulan September baru-baru ini dan mereka terkejut melihat kos perubatan yang perlu dibayar selama seminggu berada di hospital hanya menelan perbelanjaan sebanyak RM214.

 

Gambar Hiasan | Pixabay

Tijan menulis, “Pembedahan itu agak besar juga kerana membuang sista dan berada di bawah anestesia am. Jika kami lakukannya di hospital swasta mahu memakan belanja paling kurang RM10 ribu hingga RM20 ribu.”

Tambah Tijan dengan rasa bersyukurnya, “Hospital menyediakan bayaran RM2 hingga RM10 untuk ujian makmal, RM5 hingga RM10 untuk ujian kardiologi, bayaran katil wad sebanyak RM3 sehari bersama makan 3 kali sehari dengan nasihat doktor pakar, pakar diet serta ahli farmasi bersama bekalan ubat-ubatan percuma.”

“Sekali lagi, bersyukurlah, warga Malaysia. Para doktor dan pakar bedah serta jururawat semuanya terbaik dan cemerlang. Terima kasih Hospital Besar Sarawak!” tulisnya dengan rasa kesyukuran.

Untuk perhatian semua, perkhidmatan hospital kerajaan di Sabah dan Sarawak sebenarnya agak kurang lengkap berbanding hospital kerajaan di Semenanjung yang dilengkapi kemudahan kesihatan bersama pakar-pakar perubatannya yang lebih baik.

 

Facebook | Hospital Besar Sarawak

Namun, subsidi kerajaan dalam menyediakan sistem penjagaan kesihatan terbaik untuk kemudahan seluruh rakyat Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak wajar dihargai. 

Ambil peluang ini sekiranya anda ditakdirkan tiba-tiba jatuh sakit. Anda tidak akan menyedarinya dan menyatakan rasa bersyukur itu sekiranya diri sendiri tidak pernah jatuh sakit. Berterima kasih serta bersyukur dengan anugerah pelbagai kemudahan terbaik di hadapan mata bersama rezeki yang diberi di atas tanah air yang bertuah ini.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI KESIHATAN

Video Popular