TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berdepan detik mencemaskan apabila terjatuh daripada Ferris Wheel atau buaian berpusing di sebuah tapak pesta ria di bandar Hutan Melintang di sini, baru-baru ini.

Mangsa, Chow Lee Ying, 4, dilaporkan patah kaki kanan selain cedera pergelangan tangan serta luka di muka akibat terjatuh dari ketinggian lima meter kira-kira 9.30 malam, 23 September lalu.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa bersama ibu dan bapa saudaranya mengunjungi tapak pesta berkenaan dan ingin menaiki buaian berkenaan.

Namun ketika mangsa melangkah memasuki kotak buaian berkenaan terus bergerak menyebabkan ibunya belum sempat menaiki buaian berkenaan.

“Anak saudara saya naik dulu buaian terbabit, namun sebelum sempat ibu bapanya naik sama, buaian berkenaan sudah bergerak membuatkan mereka menjerit meminta dihentikan.

“Buaian itu terhenti dengan keadaan anak saudara saya sudah berada di separuh pusingan buaian terbabit dan sebelum sempat diturunkan, mangsa terjatuh,”kata bapa saudara mangsa, Tan Kwan Yong yang dipetik Harian Metro.

Dia yang ditemui di Hospital Teluk Intan berkata, ketika kejadian ramai pengunjung yang melihat kejadian dan cuba membantu untuk menyambut anak saudara dari bawah.

Namun tidak berjaya dan mangsa jatuh ke atas tanah.

Katanya lagi, sejurus selepas kejadian anak saudara yang berusia empat tahun itu dikejarkan ke klinik berhampiran tetapi dinasihatkan untuk dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dijangka akan menjalani pembedahan esok susulan kecederaan dialaminya dan pihak keluarga belum memikirkan sama ada ingin mengambil tindakan lanjut terhadap pengusaha pesta ria berkenaan,” katanya.

Sementara itu, wakil pengusaha tapak pesta ria berkenaan mengesahkan berlaku kemalangan itu dan pihaknya menyerahkan siasatan kepada polis.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular