PUTRAJAYA: Semua sekolah di Putrajaya ditutup hari ini berikutan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang memasuki tahap sangat tidak sihat .

Pengarah Jabatan Pendidikan Putrajaya Farizah Ahmad berkata, berdasarkan bacaan IPU yang telah melebihi  bacaan 200 pada 5 petang semalam sekali gus membolehkan semua sekolah Putrajaya ditutup hari ini.

Semalam, Putrajaya mencatatkan IPU 201 pada pukul 5 petang, 204 pada pukul 6 petang dan 205 kira-kira 7 petang.

Ini adalah kali pertama sekolah-sekolah di Putrajaya ditutup berikutan jerebu yang melanda negara sejak 5 September lepas.

Perkara sama turut berlaku di Selangor apabila sebanyak 138 sekolah terpaksa ditutup hari ini berikutan Indeks Pencemaran Udara di kawasan berkenaan pada tahap tidak sihat.

Jabatan Pendidikan Selangor melalui satu kenyataan semalam memaklumkan, semua sekolah di negeri itu membabitkan lima daerah iaitu Hulu Langat (35), Sepang (23), Kuala Langat (53), Klang (24) dan Petaling Perdana (38).

Penutupan itu melibatkan 179,843 pelajar sekolah rendah, sekolah jenis kebangsaan, sekolah menengah dan kolej vokasional.

“Sebarang perubahan dan maklumat terbaru akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

“Pihak sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan pelajar serta guru,” katanya yang dipetik Berita Harian.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular