KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu yang teruk melanda di negara ini dilihat mengganggu perjalanan kehidupan rakyat di negara ini sekali gus menjejaskan perjalanan harian rakyat antaranya menyebabkan beberapa penerbangan tergendala dan acara sukan terpaksa dibatalkan.

Keadaan tersebut terpaksa dihentikan berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi.

Di Ipoh, Perak jarak penglihatan menjadi terhad akibat keadaan jerebu sekali gus menyebabkan tiga penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) tergendala dan mengakibatkan kira-kira 549 penumpang terkandas.

Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman berkata, keadaan itu turut menyebabkan beberapa penerbangan yang dijadualkan tiba di LTSAS juga terpaksa membuat lencongan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ​(KLIA).

Cuaca yang tidak sihat juga turut mengganggu perjalanan acara sukan termasuk Program FitMalaysia Edisi Melaka yang akan berlangsung 14 September di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Bandar Hilir Melaka terpaksa dibatalkan.

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu diambil selepas IPU di Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan sekitar 120 pada Jumaat dan dijangkakan berada di paras tidak sihat untuk aktiviti luar.

Selain itu, dua acara sukan yang dijadual berlangsung pada hari minggu ini turut mengambil keputusan sama dengan menangguhkan program termasuk BHPetrol, yang sepatutnya berlangsung 15 September.

Turut mengambil keputusan sama termasuklan Cycling Selangor yang menangguhkan Perlumbaan 03, Selangor Criterium Series yang dijadual pada 14 September.

Sementara itu, Ketua Pengarahnya Jailan Simon, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, akan menjalankan operasi pembenihan awan bagi mengurangkan kesan jerebu melanda negara.

Bagaimanapun tegas beliau tindakan tersebut yang akan dilaksanakan pada 15 September atau Isnin ini, bergantung pada kesesuaian.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan Johan Setia di Klang, Selangor adalah satu-satunya kawasan yang masih mencatatkan IPU sangat tidak sihat dengan bacaan 251 sehingga lapan malam tadi.

Dalam pada itu, lapan kawasan baru melibatkan negeri Melaka, Johor, Pahang dan Sarawak mencatatkan pertukaran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada sederhana kepada tahap tidak sihat iaitu melebihi 101 berbanding bacaan sebelumnya.

Kawasan itu melibatkan Alor Gajah di Melaka dengan catatan 138; Batu Pahat (122), Kluang (115) dan Larkin (108) di Johor; Temerloh di Pahang (122), serta Sri Aman (103), Samarahan (106) dan Kuching (139) di di Sarawak.

Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktivit di kawasan terbuka dan boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular