MACHANG – Murid Tahun Lima Pendidikan Khas SK Hamzah 1, Mohamad Haris Iqram Ab Rahim dilaporkan mengalami kerosakan buah pinggang kronik tahap empat dan perlu menjalani rawatan dialisis seumur hidup.

Justeru, ibunya Hazaipah Yusoff, 48 tahun ingin memohon bantuan dan sumbangan daripada orang ramai bagi meringankan beban untuk membiayai kos rawatan Haris Iqram bagi membolehkan adik ini menjalani kehidupan yang normal seperti manusia lain.

Haris disahkan menghidap penyakit buah pinggang selepas dimasukkan ke hospital pada Februari tahun lalu selepas tidak sedarkan diri akibat demam panas. Hasil pemeriksaan doktor mendapati kedua-dua buah pinggang Haris telah rosak.

“Anak saya dirujukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana koma selama 9 hari. Selepas 5 bulan mendapatkan rawatan di wad biasa, anak saya dibenarkan pulang”.

Tambah Hazaipah lagi, kesihatan anaknya mulai merosot sejak beberapa bulan yang lalu apabila Haris seringkali sesak nafas dan tekanan darahnya rendah. Hal ini menyebabkan Haris terpaksa ponteng sekolah kerana perlu mendapatkan rawatan dialisis di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu. Lebih malang lagi, Hazaipah turut diberhentikan kerja sejak bulan Jun yang lalu kerana sering mengambil cuti bagi menguruskan anaknya.

“Kos penjagaan Haris sahaja pun sudah mencecah RM500 sebulan termasuk kelengkapan untuk melakukan rawatan dialisis di rumah. Dengan pendapatan yang ada, memang tidak cukup untuk menanggung kos penjagaan anak kami dan keperluan tiga anak lain yang masih bersekolah.”

Selain Haris, dua lagi anak Hazaipah iaitu Mohd Hafizie dan Nor Azwa Idayu turut menghidap penyakit yang sama. Bagaimanapun, kedua-dua anaknya itu telah meninggal dunia.

“Walaupun saya telah kehilangan dua anak saya disebabkan penyakit ini, namun sehingga kini saya tidak putus-putus berdoa dan mengharap agar Mohamad Haris dipanjangkan umur dan tidak menerima nasib yang sama seperti abang dan kakaknya.” 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular