“Ibu, Ali nak kencing..”

Sekejap sahaja anak kecil berusia 3 tahun itu sudah hilang daripada pandangan. Mata si ibu pula tertumpu pada lantai di hadapan bilik air. ‘Seluarnya di luar, mesti dia sudah masuk ke tandas,’ bisik ibu sambil meneruskan kerja memasaknya.

Bukan mudah sebenarnya hendak melatih anak kecil menggunakan tandas kerana kita tidak tahu pada umur berapakah yang sesuai untuk ajar mereka membuang air kecil atau air besar di tandas. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Mila Marie (@miss.milamarie) on

Ada anak kecil seawal usia 2 tahun sudah diajar dan tahu ke tandas dan ada juga yang masih tidak tahu membuang air di tandas walaupun sudah berusia 4 tahun. Malah lebih ‘perit’ apabila kanak-kanak tersebut masih menggunakan lampin pakai buang.

Hal ini merupakan antara kebimbangan ibu bapa terhadap anak kecil mereka. Namun sebagai ibu bapa, kita harus bersabar dan cuba memahami bagaimana keadaan anak kita. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu di periksa oleh ibu bapa:

  • Adakah anak sudah faham dan boleh menuruti sekurang-kurangnya 2 arahan?
  • Adakah anak sudah boleh memberitahu kita keinginannya untuk membuang air?
  • Adakah anak tahu menanggalkan pakaiannya sendiri?
  • Adakah anak boleh masuk dan keluar tandas tanpa bantuan anda?
  • Adakah anak tahu bahawa lampinnya sudah basah atau kotor?
  • Adakah anak boleh memberi kerjasama semasa di dalam tandas?

Bagi ibu bapa yang masih samar tentang bagaimana hendak memulakan latihan ke tandas untuk anak-anak, usah khuatir kerana ada beberapa tips yang boleh anda cuba praktikkan.

Antaranya ialah menyediakan buku harian anak ke tandas, ajari anak duduk di tandas, pastikan pergerakan usus anak anda lancar, ‘pisahkan’ daripada penggunaan lampin dan luangkan masa duduk di bilik air.

Pa&Ma

Apabila anda telah membuat keputusan untuk memulakan latihan tandas bagi anak kecil, latihan tersebut perlulah dijalankan secara konsisten. Ini bermaksud tidak kira sama ada ketika anak berada di rumah, di taska atau rumah pengasuh, anak tersebut mesti dilatih ke tandas. Beritahu kepada penjaga bahawa anak anda sedang dilatih untuk membuang air di tandas dan minta mereka memberikan kerjasama dalam latihan tersebut.

Melatih anak ke tandas semasa waktu tidur cukup mencabar. Namun mahu atau tidak anda mesti melatih mereka. Sebelum tidur, pastikan anak telah membuang air terlebih dahulu. Kejutkan anak bangun untuk buang air pada jam-jam tertentu. ‘Kemalangan’ seperti terkencing atau terkincit di tempat tidur mungkin akan berlaku pada awal-awal waktu latihan. Namun alah bisa tegal biasa.

Bagi memberi keselesaan kepada anak-anak semasa latihan ke tandas, pakaikan pakaian yang praktikal. Pakaian yang mudah ditanggalkan membantu anak-anak dengan segera ke tandas dan mengelakkan daripada terkencing atau terkincit di dalam seluar. Selain itu, jangan lupa sediakan lebihan pakaian buat anak-anak yang dihantar ke taska atau rumah pengasuh.

Memberi ganjaran kepada anak-anak apabila mereka berjaya membuang air di tandas juga merupakan antara tips berkesan latih anak kecil ke tandas. Mungkin anda boleh sediakan satu carta ganjaran buat anak anda. Pasti si kecil anda akan teruja dengannya.

ibuzarith.com

Semasa menjalani latihan ke tandas, mungkin ada masanya anak-anak tidak mahu memberi kerjasama. Masalah seperti sembelit,  ketakutan mengepam, tandas yang suram menyebabkan anak-anak takut untuk ke tandas. Aktiviti menyanyi, bermain itik getah pada awal latihan serba sedikit membantu mendekatkan anak-anak dengan keadaan di tandas. Hiaskan tandas dengan lebih ceria supaya dapat membangkitkan keterujaan anak-anak untuk menggunakan tandas.

Nurul Hidayah

Setiap anak-anak mempunyai cara penerimaan yang berbeza terhadap sesuatu yang baharu dalam hidup mereka. Latihan ke tandas antara ilmu baharu yang cukup mencabar buat anak-anak kerana itu adalah titik permulaan mereka berpisah dengan lampin pakai buang. Galakan, sokongan dan kesabaran ibu bapa amat penting demi menjayakan latihan anak ke tandas. Selamat maju jaya!

Sumber: HELLO DOKTOR

Maybe you're interested :

Share

Video Popular