Remaja perempuan berusia 18 tahun dari Girard, Ohio cedera ditembak ibunya sendiri selepas mahu membuat kejutan terhadap ibunya, pulang ke rumah tanpa memaklumkan ibunya terlebih dahulu.

Tindakannya itu membuatkan ibunya menyangka terdapat penceroboh memasuki rumahnya.

Polis memberitahu WKBN bahawa wanita itu bersendirian di dalam biliknya pada kira-kira pukul 9 pagi Jumaat lalu. Apabila dia mendengar bunyi bising dari dapur, dia berasa takut kerana tidak menyangka ada ahli keluarga yang pulang ke rumah.

Menurut laporan WFMJ, apabila pintu bilik tidurnya dibuka, dia segera melepaskan tembakan ke arah seseorang yang memasuki pintu biliknya dan tertembak anak perempuannya di lengan. Dia kemudian sedar dia telah menembak anak perempuannya.

Remaja itu telah dibawa ke Hospital St. Elizabeth Youngstown untuk rawatan. Dia dilaporkan sudah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

Wanita tersebut dilaporkan memiliki lesen pistol revolver .38, peguam daerah tempatan akan menentukan sama ada wanita itu akan didakwa ataupun tidak.

Menurut Gun Violence Archive 2019, sebanyak 1,117 insiden tembakan yang tidak disengajakan berlaku di Amerika Syarikat. Sebanyak 290 insiden tembakan rambang dilaporkan berlaku yang melibatkan 312 kematian.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menggesa saringan pemilikan senjata api di negara itu diperketat susulan dua insiden tembakan rambang yang meragut 31 nyawa dalam tempoh 24 jam.

Sumber: Berita Harian

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Benua Amerika GLOBAL

Video Popular