- Era Baru Malaysia - http://www.erabaru.com.my -

Rang undang-undang ekstradisi akan ditarik balik secara kekal – Pemimpin Hong Kong

HONG KONG – Ketua Eksekutif pro Beijing dan pemimpin Hong Kong, Carrie Lam akhirnya membuat pengumuman rasmi bahawa pemerintahannya akan menarik balik rang undang-undang ekstradisi yang telah menyemarakkan protes jalanan menjadi lebih ganas dan menyebabkan Hong Kong mengalami krisis politik terbesar dalam beberapa dekad.

Dalam ucapan rasmi menerusi video di rangkaian televisyen Hong Kong selama 5 minit pada 4 September, Carrie Lam berkata kerajaan secara rasmi akan menarik balik rang undang-undang ekstradisi yang kontroversi itu untuk ‘membebaskan kebimbangan awam dengan sepenuhnya’.

YouTube [1]

Rang undang-undang itu, yang akan membenarkan ekstradisi suspek ke China untuk dibicarakan di bawah sistem kehakiman Tanah Besar China telah mendorong permulaan bantahan secara besar-besaran pada bulan Jun yang membawa kepada konfrontasi menjadi semakin agresif oleh penunjuk perasaan dan pasukan polis dengan penangkapan lebih 1,000 orang.

Carrie Lam berkata, “Rakyat, polis dan pemberita telah tercedera semasa insiden yang ganas. Terdapat adegan huru-hara di lapangan terbang dan stesen MTR, jalan raya dan terowong yang secara tiba-tiba telah dihalang. Hong Kong telah menjadi tempat yang tidak dikenali.”

Rang undang-undang tersebut telah ditangguhkan pada bulan Jun, dengan permintaan utama para penunjuk perasaan yang meminta ia perlu ditarik balik sepenuhnya dan dibatalkan secara rasmi kerana mereka berhujah rang undang-undang yang dikatakan sudah ‘mati’ itu boleh dihidupkan semula pada masa akan datang.

Berikutan rang undang-undang ekstradisi yang akan ditarik balik secara rasmi, Carrie Lam kini telah memperakukan salah satu daripada lima tuntutan utama para penunjuk perasaan.

Getty Images | AFP | Anthony Wallace [2]

Bagaimanapun, tuntutan lain yang melibatkan penyiasatan bebas terhadap tingkah laku polis, pengampunan bagi mereka yang telah ditangkap dan pembaharuan demokratik untuk pemberian hak universal pengundi Hong Kong tidak diakui oleh Carrie Lam.

Carrie Lam berkata dengan mesej yang lebih lembut bahawa kerajaannya akan membuka platform untuk dialog, mengundang pemimpin masyarakat, pakar dan lain-lain untuk menyiasat isu sosial dan ekonomi serta menasihati kerajaan.

Salah seorang ahli parlimen pro Beijing, Micheal Tien berkata, “Beliau perlu melakukan sesuatu supaya perkara ini tidak akan menjadi bertambah hodoh. Jadi beliau perlu memberi isyarat sekarang. Beberapa bulan lalu, beliau berharap perkara ini akan berakhir.”

Perlu dilihat sama ada langkah ini akan meredakan bantahan penduduk Hong Kong yang telah berubah menjadi gerakan politik yang lebih luas, yang mana sebahagian besarnya didorong oleh kemarahan terhadap pihak polis dan kerajaan.

YouTube [3]

Ketika berita mengenai penarikan balik rang undang-undang itu tersebar, polis pencegah rusuhan dilihat terus meronda di stesen MTR ketika penunjuk perasaan meminta orang ramai untuk berkumpul di beberapa stesen.

Seorang penunjuk perasaan bernama Alan berkata, “Sudah tentu saya tidak akan menerimanya. Kami mempunyai lima tuntutan, kami mahukan semua dipenuhi, tiada satu yang kurang. Isu yang paling penting untuk diselesaikan adalah penyalahgunaan kuasa polis.”

Bantahan itu telah membawa Hong Kong, sebuah pusat kewangan dan perniagaan utama  ke arah kemelesetan ekonomi, dengan perniagaan dan kedai mengalami kerugian sehingga para pelabur mempertimbangkan semula kehadiran mereka di wilayah itu.

Bantahan besar-besaran ini juga menuntut kebebasan Hong Kong, seperti yang dijanjikan di bawah syarat-syarat penyerahan bekas jajahan British itu kepada China pada tahun 1997 yang mana telah bertentangan dengan bidang kuasa Beijing ke atas wilayah itu.

SCMP [4]

Pengumuman Carrie Lam menyusul selepas beberapa pertempuran terburuk dalam tempoh tiga bulan yang lalu apabila penunjuk perasaan mula melemparkan bom petrol dan polis melepaskan meriam air, peluru getah dan gas pemedih mata.

Polis dilihat mengejar dan memukul penumpang di stesen MTR. Pada Ahad lalu, penunjuk perasaan mula melumpuhkan laluan ke lapangan terbang, hub utama pelancongan ke wilayah itu.

“Pengumuman ini tidak mengubah hakikat bahawa pihak berkuasa Hong Kong telah memilih untuk menindas penunjuk perasaan dengan cara sangat menyalahi undang-undang yang telah memusnahkan kepercayaan rakyat dan pengertian kesahan kerajaan,” kata Tam Man-kei, pengarah Amnesty International Hong Kong.

YouTube [3]

Penuntut universiti dan pelajar sekolah menengah turut melancarkan boikot kelas hari pertama persekolahan pada minggu ini dan penunjuk perasaan telah merancang tindakan selanjutnya dalam beberapa minggu akan datang. Ini termasuk percubaan lain untuk melumpuhkan lapangan terbang dan perhimpunan di luar konsulat Amerika Syarikat.

Salah seorang penunjuk perasaan dikenali Jackie Lee berkata, “Carrie Lam terkenal kerana sering melanggar janji.” Jackie percaya perakuan itu hanya merupakan percubaan pemimpin Hong Kong itu untuk merayu kepada penunjuk perasaan supaya menjadi kurang ekstrem dan memecah-belahkan pergerakan protes.

Sumber : The Guardian [5]

loading...