Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Bristol yang tidak dinyatakan identitinya telah kehilangan penglihatan dan pendengaran.

Ia berlaku disebabkan pengamalan diet harian dengan hanya memakan kentang goreng, kerepek kentang dan daging terproses tanpa pernah makan buah atau sayur selama 10 tahun.

Remaja tersebut dikatakan kekurangan vitamin dalam diet makanannya. Menurut laporan ujian pemeriksaan, remaja tersebut mengalami kekurangan vitamin yang teruk dan malnutrisi.

Dia mengalami kekurangan beberapa vitamin penting termasuklah vitamin B12 dan vitamin D serta beberapa mineral penting seperti selenium dan tembaga.

Beberapa doktor mata di Bristol memeriksa dan merawat remaja berkenaan selepas penglihatannya semakin merosot sehingga mengalami titik buta.

Menurut jurnal Annals of Internal Medicine yang didedahkan Hospital Mata Bristol, remaja itu dilaporkan mula mendapatkan rawatan doktor pada usia 14 tahun kerana kerap berasa letih dan tidak sihat.

Ketika itu, remaja tersebut telah mengalami kekurangan vitamin B12 dan doktor segera memberikan suntikan untuk meningkatkan kadar vitamin B12 dalam darahnya selain memberikannya suplemen dan menu diet.

Walau bagaimanapun, remaja itu gagal mengekalkan pengambilan suplemen dan tidak mengikut diet yang disarankan oleh doktor. Dia memilih untuk meneruskan diet hariannya seperti biasa dengan makan kentang goreng, kerepek kentang, serta roti putih yang disertakan dengan hirisan daging dan sosej.

Dia tidak mengikut diet yang disarankan oleh doktor kerana cerewet tentang makanan. Dia tidak suka makan sayur dan buah gara-gara tidak suka akan teksturnya.

Tiga tahun kemudian, remaja tersebut dibawa ke Hospital Mata Bristol kerana kehilangan penglihatan secara progresif.

“Dia kehilangan banyak mineral dari tulangnya, di mana fakta itu cukup mengejutkan untuk usianya,” kata doktor yang merawatnya, Dr. Denize Atan.

Walaupun tidak mengalami obesiti atau terlalu kurus, remaja itu tetap mengalami kekurangan nutrisi dan akibat kekurangan nutrisi, saraf di belakang matanya rosak kekal dan menyebabkan dia kehilangan penglihatan. Selain kehilangan penglihatan, pendengarannya juga semakin merosot dan lemah tulang.

Sumber: NST

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular