Setiap ibu bapa mengimpikan masa depan anak-anak yang cerah dalam bidang pelajaran dan juga pekerjaan. Daripada menuntut di sekolah sehinggalah melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, ibu bapa pasti akan sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak untuk mendapat keputusan yang cemerlang.

Jadi, apabila anak lelaki ini akhirnya akan menamatkan pengajian di kolej setelah 7 tahun berjuang, si ibu telah mengalirkan tangisan kegembiraan yang turut membuatkan warganet terharu dan menangis!

Menerusi video yang dikongsikan oleh @jrnwll di Twitter, dua beranak ini dirakamkan sedang meluangkan masa bersama-sama dengan makan di sebuah restoran makanan segera. Kemudian, si ibu yang dikenali sebagai Liza Gay Marmol telah dihulurkan bungkusan ‘hadiah’ daripada anak lelakinya itu. Sebaik sahaja Liza membuka bungkusan hadiah itu, kedengaran Liza bertanya kepada anaknya, Jerue Neuwell Marmol tentang kandungan bungkusan itu.

“Ibu rasa ini adalah sablay. Kamu akan bergraduasi ke?,” tanya Liza kepada Jerue.

Pada ketika itulah, Liza menyedari hadiah itu adalah sablay iaitu selendang yang dipakai oleh graduan Universiti of Philippines ketika majlis graduasi. Dengan serta-merta, Liza terus mengalirkan air matanya.

Video berdurasi 1 minit 59 saat ini telah menyentuh hati dan perasaan ribuan pengguna Twitter sejak ianya ditularkan. Dalam satu temubual bersama Coconuts Manila, Jerue sempat menceritakan keseluruhan situasi dan langsung tidak menyangka ibunya akan menunjukkan respon sedemikian rupa.

“Saya tidak menjangkakannya. Ibu bapa saya bukan jenis yang beremosi terutamanya ibu. Saya fikir dia hanya akan mengucapkan tahniah dan bergembira dengan berita ini”.

Jerue turut mengakui bahawa dia mengambil masa yang sangat lama untuk menamatkan pengajian disebabkan oleh kegagalan dalam beberapa matapelajaran seperti algebra dan ekonomi. Namun berkat kegigihan dan doa ibu, Jerue akhirnya berjaya membuatkan kedua ibu bapanya berbangga dengan kejayaan yang tidak disangka-sangka ini!

Sememangnya satu cerita yang menyayat hati. Semoga Jerue akan terus menjadi kebanggaan keluarga dan terus bersemangat untuk mencipta kejayaan yang lebih besar di masa hadapan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI VIDEO

Video Popular