Kesihatan adalah salah satu nikmat kehidupan yang paling berharga yang boleh dimiliki oleh seseorang. Walau bagaimanapun, kerana kita sudah ‘terbiasa’ dengan gaya hidup yang semakin mendesak dari tahun ke tahun, dengan komitmen yang semakin bertambah dan tanggungjawab yang semakin menekan, kita cenderung untuk mengabaikan kesihatan diri.

Tetapi, tanpa kita sedari, sebenarnya kita boleh mengawal tahap kesihatan kita hanya dengan pengambilan makanan atau minuman yang paling ringkas dan mudah didapati. Misalnya, pengambilan teh hijau.

Gambar hiasan | Jia Ye – Unsplash

Teh hijau sebenarnya begitu kaya dengan nutrisinya yang tersendiri yang boleh menambah baik tahap kesihatan pengguna. Antara 5 kebaikan teh hijau adalah:

1. Sumber antioksidan

Gambar hiasan | Unsplash

Teh hijau atau lebih terkenal dengan nama “matcha”, mengandungi sumber antioksidan semula jadi yang dikenali sebagai catechin. Sumber antioksidan ini berfungsi untuk menghalang kerosakan sel dalam badan yang dalam masa yang sama boleh menyekat penyakit-penyakit berbahaya.

Salah satu penyakit berbahaya yang boleh dilindungi dengan pengambilan teh hijau adalah penyakit kanser. Berdasarkan sebuah kajian meta-analisis, seseorang wanita yang kerap meminum teh hijau cenderung untuk mengurangkan risiko kanser payu dara sebanyak 20% hingga ke 30%. Selain itu, kajian lain pula mendapati bahawa lelaki yang kerap meminum teh hijau pula dapat mengurangkan sebanyak 48% risiko kanser prostat.

Bilangan yang mengagumkan!

2. Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular

Gambar hiasan. Kredit: Unsplash

Penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung dan strok merupakan antara penyakit yang paling banyak menyebabkan kematian di dunia.

Pengambilan teh hijau boleh membantu mengurangkan risiko penyakit-penyakit ini dengan cara meningkatkan kapasiti antioksidan di dalam darah yang seterusnya melindungi kolestrol LDL. Kolestrol LDL ini adalah komponen yang menyebabkan pengumpulan lemak dalam arteri yang kemudiannya menyebabkan penyakit serangan jantung.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila kajian mendapati bahawa orang yang sering meminum teh hijau kurang berdepan dengan risiko penyakit kardiovaskular kerana risikonya telah berkurang sebanyak 31%.

3. Membantu mengawal berat badan

Gambar hiasan. Kredit: Unsplash

Oleh kerana rasa teh hijau yang menyegarkan, teh hijau seringkali digandingkan dengan susu. Sama seperti kopi susu, minuman ini sememangnya boleh mengenyangkan. Rasa yang mengenyangkan ini seterusnya dipercayai boleh mengawal pengambilan makanan yang berlebihan.

Tambahan pula, kerana kandungan teh hijau yang boleh menjana kadar metabolik peminum dalam masa yang singkat, maka hal ini seterusnya membolehkan teh hijau membantu untuk menurunkan berat badan. Beberapa kajian juga mendapati bahawa teh hijau boleh membantu mengurangkan lemak dalam badan, terutamanya di bahagian abdomen.

4. Membantu melindungi otak di usia tua dan mengurangkan risiko penyakit nyanyuk dan Parkinson

Gambar hiasan. Kredit: Unsplash

Jika anda masih belum tahu, teh hijau juga mengandungi kafein. Tetapi, kandungan kafein ini tidak begitu banyak seperti yang terdapat dalam kopi. Mengikut kajian, kafein didapati boleh membantu meningkatkan keupayaan otak, termasuklah meningkatkan mood, reaksi masa dan ingatan.

Bukan sahaja teh hijau boleh membantu meningkatkan keupayaan otak dalam masa yang singkat, malah, teh hijau juga dipercayai boleh melindungi otak manusia di usia tua.  Beberapa kajian mendapati bahawa kandungan catechin dalam teh hijau boleh memberi pelbagai kesan positif terhadap sistem saraf haiwan kajian, yang dalam masa yang sama menggambarkan bahawa kesan ini berkemungkinan besar boleh mengurangkan risiko penyakit nyanyuk dan Parkinson pada manusia.

5. Membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan (anxiety)

Gambar hiasan. Kredit: Unsplash

Selain daripada empat perkara yang telah dinyatakan, teh hijau juga boleh digunakan sebagai sumber semula jadi bagi meredakan kebimbangan. Hal ini kerana, kandungan asid amino yang dikenali sebagai L-theanine di dalam teh hijau dipercayai boleh membantu menenangkan saraf manusia.

Kajian mendapati bahawa L-theanine boleh memberi kesan secara langsung kepada otak. L-theanine berfungsi dengan meningkatkan aktiviti gelombang alpha di dalam otak, yang seterusnya menyebabkan fikiran menjadi lebih tenang tanpa rasa pening kepala.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular