CHICAGO: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami gangguan pernafasan yang teruk akibat terlalu kerap menghisap e-rokok atau vape sekali gus menjadikan kematian pertama akibat peranti itu di Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun Jabatan Kesihatan Awam Illinois (IDPH) enggan mendedahkan nama, umur dan pesakit yang meninggal dunia.

Kes kematian itu muncul di tengah-tengah wabak penyakit paru-paru di seluruh AS dikaitkan dengan penggunaan e-rokok.

Pengarahnya, Dr. Ngozi Ezike dalam satu kenyataan memaklumkan, keseriusan penyakit yang dialami orang awam akibat vape berada di tahap membimbangkan dan kita mesti sedar penggunaan e-rokok atau vape adalah sangat membahayakan.

“Kami memerlukan satu pasukan daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk membantu menyiasat kes yang banyak berlaku di sini,” katanya.

Agensi itu berkata, sekurang-kurangnya 22 orang berusia di antara 17 dan 38 tahun menghidap beberapa jenis penyakit pernafasan selepas menggunakan e-rokok, manakala 12 kes lain pula sedang disiasat.

Beliau berkata, alat itu tidak selamat untuk kanak-kanak, orang dewasa muda, wanita hamil atau orang dewasa yang biasanya tidak menggunakan produk tembakau.

“Vaping mendedahkan pengguna kepada bahan-bahan yang berlainan, yang mana kita mempunyai sedikit maklumat mengenai bahaya berkaitan termasuk perasa, nikotin, cannabinoids dan pelarut dan mengandungi THC, unsur aktif utama dalam dadah jenis ganja,” katanya.

Tambahnya, CDC juga mengenal pasti potensi 193 kes masalah paru-paru yang teruk di 22 negeri yang juga berpunca daripada vape dan daripada jumlah itu, 22 kes di Illinois.

Dalam masa sama, IDPH memaklumkan kepada orang ramai yang berdepan dengan simptom-simptom seperti sakit dada dan sukar bernafas selepas menghisap vape atau menggunakan e-rokok disaran segera ke hospital untuk rawatan lanjut.

Kes-kes penyakit pernafasan yang berkaitan dengan vape turut dilaporkan berlaku di Chicago dan Champaign.

Sumber: chicago.cbslocal.com, Utusan Malaysia

 

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular