KUALA LUMPUR: Syarikat E-hailing, Grab Malaysia bersedia untuk meningkatkan inovasi keselamatan produknya bagi khidmat penumpang motosikal sekiranya negara memulakan perkhidmatan teksi motosikal sebagai satu khidmat pengangkutan.

Ketua Grab Malaysia Sean Goh dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mencadangkan agar peraturan Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) membenarkan pembangunan satu set berasingan yang ketat mengenai ciri-ciri keselamatan khas motosikal berkenaan bagi melindungi orang awam.

“Grab menyatakan sokongan secara prinsip kepada Kabinet bagi permintaan penggunaan perkhidmatan motosikal di Malaysia namun pada masa sama menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan perkhidmatan itu.

“Ketika kerajaan mempertimbangkan undang-undang bagi perkhidmatan motosikal di Malaysia, kami percaya adalah penting untuk menitikberatkan aspek kritikal perkhidmatan ini keselamatan penunggang, penumpang dan masyarakat keseluruhannya dengan mengambil kira infrastruktur jalan raya, keadaan trafik dan rekod keselamatan,” katanya yang dipetik bernama.

Pada masa kini perkhidmatan penumpang motosikal Grab adalah nombor satu di Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Malah, sehingga kini, Goh menjelaskan Grab berjaya mewujudkan peluang pendapatan kepada lebih 10,000 rakan motosikal menerusi perkhidmatan GrabFood dan GrabExpress di sekitar Lembah Klang, Kuching, P. Pinang, Kota Kinabalu, Melaka dan Johor Bahru.

“Kita akan terus mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan untuk semua rakyat Malaysia termasuk belia, individu yang kurang upaya dan mereka yang lain yang mencari peluang pendapatan,” katanya.

21 Ogos lalu, Kabinet meluluskan cadangan untuk mewujudkan khidmat penumpang motosikal seperti perkhidmatan GoJek, namun, satu kajian dari aspek perundangan bakal dilaksanakan sebelum dilancarkan.

Sumber: Bernama

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular