SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena, semalam yang mula beroperasi di Seksyen 14, sejak Mei lalu.

Hospital berkenaan yang dilengkapi 133 katil itu merupakan hospital pakar swasta wanita dan kanak-kanak terbesar di Malaysia, buat masa ini.

Kunjungan baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Tengku Amir Shah, mencemar duli melawat hospital berkenaan dan menyaksikan pameran berkaitan Avisena.

Yang turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dalam kunjungan berkenaan, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan replika cek sumbangan berjumlah RM25,000 daripada hospital pakar itu bagi menaja kos pembedahan dua orang pesakit yang terdiri daripada kanak-kanak lima tahun dan seorang bayi perempuan berusia 10 bulan.

Sumbangan berkenaan bertujuan untuk membiayai kos pembedahan laparoskopi bagi penyakit hernia yang dihadapi kanak-kanak berkenaan dan pembedahan sumbing lelangit bayi terbabit.

Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 daripada hospital itu untuk Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) yang diterima oleh wakil persatuan berkenaan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena, Datuk Dr Omar Abd Hamid, bangunan baharu 19 tingkat hospital pakar swasta khusus untuk wanita serta kanak-kanak itu mula dibina pada 2016 dan beroperasi pada 6 Mei lepas dengan menampilkan konsep butik eksklusif.

Dilengkapi 133 katil, 25 doktor pakar residen, 36 doktor pakar pelawat serta 309 kakitangan, hospital pakar itu juga menyediakan pelbagai fasiliti antaranya ruang menunggu kenamaan, pusat perkembangan kanak-kanak, pusat fertiliti dan teater kanak-kanak.

Hospital itu juga menawarkan perkhidmatan perbidanan, ginekologi dan pediatrik dalam hampir semua bidang pengkhususan seperti kesuburan, perubatan janin ibu (maternal-foetal), uroginekologi, neonatologi (penjagaan bayi baru lahir), ‘paediatrics cardiology’, pembedahan pediatrik, ortopedik pediatrik, perkhidmatan pergigian pediatrik, pembangunan kanak-kanak dan pelbagai pengkhususan lain.

Beliau berkata, hospital pakar itu yang kedua dibina Kumpulan Avisena selepas hospital pertamanya yang beroperasi lebih 11 tahun lalu.

“Mempunyai 251 katil dan 115 doktor pakar dan memberi peluang pekerjaan kepada hampir 1,000 kakitangan bagi kedua-dua hospital berkenaan.

“Avisena akan menambah 140 katil lagi di hospital itu bagi menarik, menjana dan mengembangkan perkhidmatan pelancongan perubatan, terutama dari Australia, Indonesia dan Asia Barat,” katanya.

Dalam ucapan beliau menjelaskan pihaknya mempunyai perancangan untuk membina beberapa lagi hospital di lokasi-lokasi terpilih di Lembah Klang dan negeri-negeri lain pada masa akan datang.

Selain menawarkan pelbagai disiplin perubatan, hospital yang mengetengahkan konsep hospital butik itu mempunyai empat dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) mesra kanak-kanak, Unit Kritikal untuk Bayi (NICU) dan Unit Separa Kritikal (HDU).

Turut menawarkan perkhidmatan Anjung Bonda yang membolehkan ibu pesakit pediatrik berehat tanpa gangguan bapa dan anak.

Tidak seperti bilik bersalin di hospital lain, bilik bersalin di Avisena direka bagi mewujudkan suasana tenang, nyaman dan seperti berada di rumah.

Untuk mengelakkan rasa takut dalam kalangan kanak-kanak yang perlu menjalani prosedur radiologi, sebuah mesin pengimbas mainan yang dipanggil kitten scanner disediakan.

Hospital itu juga dilengkapi sebuah taman permainan di atas bumbung bangunan dan bilik mainan dengan alat permainan terapi di setiap wad paediatrik berkenaan.

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular