Kuala Lumpur- ‘Ops Blue Devil’ yang dijalankan terhadap setiap kontinjen polis yang bermula pada 13 Ogos lalu amat mengejutkan apabila sejumlah lebih 100 orang anggota polis telah dikesan positif dadah pelbagai jenis.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, pendekatan tersebut dibuat secara menyeluruh terhadap semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana kesemua pegawai dan anggota dikehendaki untuk menjalani ujian air kencing.

Hasil dapatan tersebut mengejutkan Abdul Hamid ekoran jumlah anggota polis yang didapati positif pelbagai jenis dadah (terutamanya syabu) agak tinggi, sambil mengatakan bahawa penyalahgunaan dadah dalam kalangan polis disifatkan berada pada tahap kritikal dan serius.

“Jika warga PDRM yang telah diberi tanggungjawab dan amanah untuk menguatkuasakan undang-undang tetapi mereka sendiri pun terlibat dengan kegiatan ini, apa hendak jadi dengan negara ini,” tegasnya.

“Bayangkan keadaan yang pernah berlaku di Amerika Latin dahulu (masalah dadah dalam kalangan anggota penguat kuasa), maka usaha pencegahan penyalahgunaan yang menyeluruh mesti dilaksanakan”, jelasnya.

Tindak tanduk anggota polis yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan ini sudah pun dijangka dan terbukti. Hal ini kerana, mereka turut didapati terlibat dalam kes-kes lain seperti rasuah, pemerasan, ugut selain menyasarkan golongan pekerja asing sebagai mangsa.

Menurutnya lagi, kos untuk melempiaskan gian tersebut agak tinggi dan dengan gaji yang kecil, mereka terpaksa mencari wang secara haram. Difahamkan bahawa operasi tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan integriti di samping membersihkan imej PDRM.

Ia juga merupakan pendekatan untuk menyasarkan serbuan ke atas makmal pemprosesan dadah, pengedar serta penagih. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Mohd Khalil Kader Mohd juga telah diarahkan agar tidak ‘berehat’ dalam operasi berkenaan.

Menurut Mohd Khalil, sejumlah 3,438 anggota PDRM telah menjalani ujian saringan air kencing. “Kami sudah imbas dahulu anggota yang terlibat. Setelah dikenalpasti, mereka diarahkan untuk menjalani ujian. Hasilnya, ada yang positif”, katanya.

Tambah beliau lagi, seramai 86 anggota polis didapati positif dadah jenis syabu, masing-masing enam individu positif Amphetamine dan Opiat, Manakala selebihnya dua individu positif ganja dan seorang positif ketamin.

Mohd Khalil menjelaskan bahawa anggota polis yang didapati positif dadah berkenaan akan dikenakan tindakan undang-undang yang sama seperti orang awam – disiasat polis dan seterusnya dihadapkan ke mahkamah.

Sumber: NST

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular