KUALA TERENGGANU: Penjaga gol utama Terengganu FC (TFC), Mohd Suffian Abd Rahman meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari Sabtu dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus itu mengejutkan peminat skuad Penyu ketika berbaki kurang lapan jam sebelum pertembungan dengan Negeri Sembilan pada saingan Piala Malaysia yang berlangsung semalam.

1 Ogos lalu, Mohd. Suffian dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kerana mengalami masalah jantung.

Selepas dirawat di hospital beberapa hari, Allahyarham Mohd Suffian yang digelar Tiger berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang untuk membuat rawatan susulan.

“Saya begitu terkejut mendengar berita itu dan dimaklumkan kematian arwah disebabkan masalah jantung.

“Saya mengharapkan peminat setia skuad TFC dan seluruh peminat bola sepak tanah air mendoakan arwah Suffian ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman,” kata Pengurus TFC, Ahmad Shahrizal Yahya yang dipetik Astro Awani.

Penjaga gol yang berusia 41 tahun itu merupakan tonggak utama skuad Terengganu FC dalam kejayaan mereka mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu dan ketiadaan beliau minggu lalu memberikan sedikit masalah untuk pengendali pasukan, Nafuzi Zain mencari penggantinya.

Terengganu FC kini mempunyai tiga penjaga gol terdiri daripada Muhammad Ilham Amirullah Razali, Wan Azraie Wan Teh dan Shafawi Mohamad.

Sementara itu, penjaga gol Terengganu FC (TFC), Wan Muhamad Azraie menyifatkan pemergian Mohd Suffian Abd Rahman sebagai kehilangan besar buat pasukan.

Wan Azraie berkata, arwah seorang yang tidak lokek ilmu kerana sentiasa memberi tunjuk ajar kepadanya dan penjaga gol lain dalam pasukan, selain mudah didekati sama ada di padang atau sebaliknya.

“Saya terkejut mendengar berita itu melalui WhatsApp dan sukar untuk mempercayainya, namun menerimanya dengan hati yang berat selepas disahkan pihak persatuan,”katanya yang dipetik Harian Metro

Jenazah pemain paling senior itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Tunggal selepas solat Asar, semalam.

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular