Setiap kali musim perayaan, pasti ada sahaja berita mengenai kemalangan jalan raya yang meragut nyawa atau melibatkan kecederaan serius dilaporkan di media. Ada sesetengah kemalangan itu berlaku dalam keadaan yang menyeramkan dan membuatkan kita semua terus ‘insaf’ untuk tidak lagi memandu dengan cuai.

Namun bak kata pepatah, “malang itu tidak berbau”. Meskipun kita sudah memandu secara berhemah, akan ada faktor-faktor lain yang mencetuskan sesuatu kemalangan seperti sikap pemandu jalan raya yang lain, cuaca, keadaan jalan raya, keadaan kenderaan dan sebagainya.

Dalam video yang menular di Twitter baru-baru ini memaparkan insiden kemalangan kereta yang berlaku di laluan lebuhraya Utara-Selatan akibat kes tayar pecah. Video berdurasi 2 minit 20 saat ini secara jelasnya menunjukkan rakaman sebuah kenderaan berwarna putih yang berada di lorong kiri tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan. Kemudiannya, kereta ini dilihat terbalik buat kali kedua sebelum api yang marak keluar membakar kereta tersebut.

Mujur kedua-dua mangsa berjaya menyelamatkan diri lalu segera keluar dari kenderaan yang sedang terbakar itu. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan parah walaupun kemalangan ini kelihatan sangat-sangat mengerikan! Beberapa pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian turut keluar dari kenderaan masing-masing untuk memeriksa keadaan mangsa di samping menghulurkan bantuan dengan menghubungi pasukan kecemasan.

Insiden yang dilaporkan berlaku pada 8 Februari tahun ini memberikan pengajaran buat kita semua agar sentiasa melakukan pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Dengan ini, kita bukan sahaja dapat memastikan kelancaran perjalanan tetapi juga mengelakkan diri daripada risiko bahaya seperti di dalam video tersebut.

Video yang dikongsikan oleh akaun @999Malaysia ini berjaya mendapat sehingga 5,970 ulang kicau dan 2,531 tanda suka! Pengguna-pengguna Twitter turut membanjiri ruangan komen dengan pelbagai respon seperti:

“Walaupun video ini video lama tetapi saya suka bagaimana rakyat Malaysia bertindak dalam membantu mangsa kemalangan tersebut. Inilah sikap rakyat Malaysia yang saya mahukan ketika di atas jalan raya”

“Perlu wajibkan setiap kenderaan persendirian untuk memiliki alat pemadam api”

“Pakailah tali pinggang keselamatan walaupun anda duduk di bahagian belakang. Anda tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari. Kemalangan tidak menimpa orang yang berada di bahagian hadapan sahaja”

Semoga kita semua sentiasa dilindungi daripada segala musibah dan ujian yang tidak mampu kita tanggung. Apa yang penting, sentiasalah memandu dengan berhati-hati dan jadi pemandu yang berhemah!

Maybe you're interested :

Share
Kategori: VIDEO

Video Popular