Menjadi salah seorang dalam kalangan 10 peratus populasi dunia yang bertangan kidal, rasanya ramai orang menganggap ia satu anugerah yang agak unik dan istimewa.

Namun ramai yang tidak tahu orang kidal sudah biasa menerima hakikat dengan pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi untuk menggunakan peralatan harian yang kebanyakan dikhususkan untuk mereka yang bertangan kanan. 

YouTube

Bila mereka kata orang kidal lembab guna alatan biasa yang ringkas, maka si kidal akan terima sahaja kerana sebenarnya bagi bab lain terutama dalam penggunaan otak kiri dan otak kanan secara seimbang, orang kidal ada banyak kelebihan. Maka tidak hairan ramai orang hebat di dunia terdiri daripada golongan kidal seperti Barack Obama, Oprah Winfrey, Albert Einstein, Leonardo da Vinci dan Keanu Reeves serta ramai lagi.

8 alatan harian di bawah boleh membuat orang kidal mengeluh dan merasai dunia ini berat sebelah, namun kebanyakan orang kidal masih boleh terima walaupun ia tidak adil.

#1. Gunting

YouTube

Gunting yang mempunyai lubang untuk ibu jari itu tiada gunanya buat orang kidal sebab jari telunjuk dan jari hantu sehingga ke jari manis yang diletak di situ. Satu kali guna tiada masalah, tetapi apabila bab menggunting sekali banyak, boleh lenguh dan kejang jari dibuatnya.

Tetapi tidak mengapa, kini beberapa kedai biasa seperti di Daiso sudah menjual gunting untuk orang kidal.

#2. Kerusi dewan kuliah dan dewan peperiksaan

YouTube

Kerusi ini kalau bab masa dalam kelas biasa boleh tahan lagi, walaupun tangan kiri hingga ke badan dan kepala senget agak lenguh juga apabila mengambil nota guru atau pensyarah jika pembelajaran dan tutorial memakan masa sehingga 2 jam.

Apa yang lebih menjadi fobia bagi kalangan golongan kidal apabila kerusi jenis meja sisi kanan di gunakan ketika ujian atau peperiksaan. Rasa lenguh tangan kiri terapung itu boleh menyebabkan otak juga berasa lenguh ketika menulis jawapan. Habis peperiksaan selepas guna kerusi ini, orang kidal akan balik tidur tidak sedar diri.

Kalau dewan kuliah meja panjang juga satu hal kerana orang kidal kena duduk hujung-hujung kiri meja atau jauh-jauh sedikit dari rakan-rakan tangan kanan sebab takut berlaga-laga tangan dan siku pula dengan mereka.

#3. Pembuka tin

YouTube

Tiada guna pembuka tin bagi si kidal. Orang kidal merungut akan membeli pisau pelbagai guna Swiss Army, guna pisau lipat askar kepunyaan bapa yang bekerja sebagai askar atau askar pencen, atau guna pisau biasa sahaja untuk membuka tin. Agak berbahaya juga jika difikirkan tetapi itulah cabaran dan berani namanya.

Namun kini, syukur kebanyakan syarikat pengeluar makanan dalam tin sudah memahami dengan menyediakan kemudahan pembuka tin yang boleh ditarik terus seperti minuman dalam tin itu. 

#4. Buku spiral

YouTube

Buku yang amat payah untuk orang kidal menulis sebab tangan kiri asyik berlaga dengan spiral itu. Boleh lebam tangan kiri dibuatnya. Selepas menulis yang perlu ke tengah sedikit, habis dakwat pen atau karbon pensil melekat di hujung tangan kiri dan jari kelengkeng. 

Tulisan pula tidak perlu cakap, tidak cantik langsung. Bagi si kidal yang cerewet bab mengambil nota dan suka melihat nota yang cantik lagi kemas-kemas menawan, maka ada yang menyalin nota sekali lagi. Mungkin itu antara sebab mengapa ramai orang kidal menjadi hebat sebab mereka semuanya perlu mengulang cara dan berusaha lebih dalam banyak perkara.

#5. Pen bertali di bank dan pejabat kerajaan

Shutterstock

Biasanya pen yang bertali tidak digunakan oleh golongan kidal kerana jika talinya pendek, mereka menghadapi kesukaran untuk menulis ruang yang disediakan dengan baik dan cepat.

Oleh itu, untuk menjimatkan masa, orang kidal akan membawa pen sendiri dari rumah untuk ke mana-mana dalam apa juga keperluan dan kesediaan.

#6. Gitar

YouTube

Seronok mendengar alunan petikan gitar, maka orang kidal juga mahu mencuba bermain gitar dan mempelajarinya. Malangnya tali gitar semuanya akan jadi terbalik apabila si kidal mahu bermainnya dengan fikiran mereka juga perlu diterbalikkan sehingga pening ketika diajar oleh guru yang bertangan kanan.

Maka, dengan usaha dan minat yang lebih mendalam, ia akan menjadi tangga kejayaan yang mengagumkan. Dan ramai pemain gitar handalan dunia seperti Jimi Hendrix, Paul McCartney, Albert King dan Kurt Kobain adalah kidal. Di Malaysia, kita mempunyai gitaris kidal handalan dari kumpulan Lefthanded iaitu Man Kidal.

#7. Kerongsang

Pinterest

Mengguna kerongsang juga satu hal yang sukar bagi si kidal jika terdapat pereka yang mereka cipta corak untuk kegunaan orang kanan seperti bentuk rama-rama yang mempunyai sesungut ke atas. Oleh itu, orang kidal lebih suka membeli kerongsong corak ringkas atau bulat biasa.

Namun begitu, ramai orang kidal masih terus terkial-kial dan lembab kerana memakai kerongsang perlu bermula dari kanan. Dan ini termasuk juga ketika mengatup butang baju dan seluar.

#8. Peralatan sukan

Pexels

Ramai orang kidal tidak suka bersukan disebabkan peralatan sukan akan membuat mereka mengeluh kerana ia amat sukar digunakan dan jelas mendiskriminasi golongan kidal sehingga mampu membuat mereka menjadi bahan gurauan dan ejekan.

Contohnya, ramai orang kidal akan menjauhkan diri daripada bermain golf, hoki, boling dan memanah.

Namun apabila orang kidal telah berjaya menguasai beberapa sukan seperti tenis, badminton, besbol dan tinju, maka mereka akan menjadi ahli sukan yang hebat dan juara dunia dengan rekod mengagumkan.

YouTube

Sebenarnya ada banyak lagi peralatan harian yang dilihat mendiskrimasi golongan kidal seperti landas seterika, permainan Xbox dan pita pengukur, namun apakan daya golongan ini hanya terdapat sebanyak 10 peratus di dunia. Disebabkan orang kidal adalah golongan minoriti, maka mereka sudah terbiasa menjalani kehidupan bersama orang bertangan kanan.

Cuma dengan sedikit perbezaan iaitu mereka akan terus berfikir dengan lebih mendalam dan mencari jalan penyelesaian yang lebih kreatif untuk memudahkan kehidupan.

Walaupun sambutan Hari Kidal Sedunia telah disambut pada 13 Ogos yang lalu, namun masih tidak terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Kidal Sedunia untuk 10 peratus penduduk dunia yang bertangan kidal. Anda patut berbangga kerana tergolong dalam kelompok unik dalam dunia.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona Ria

Video Popular