Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong kembali beroperasi pada pagi hari ini, selepas semua penerbangan dibatalkan kerana protes oleh pro-demokrasi semalam.

Tetapi media tempatan melaporkan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong masih tidak beroperasi sepenuhnya kerana terdapat lebih 200 penerbangan masuk dan keluar dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong China telah dibatalkan pada hari ini, menurut laman web pihak berkuasa lapangan terbang.

Namun, menurut berita terkini, pada petang ini pihak berkuasa lapangan terbang menggantung semua penerbangan keluar kerana penunjuk perasaan anti-kerajaan kembali memenuhi dewan ketibaan dan berlepas.

“Operasi terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong telah terganggu dengan serius, dan semua proses daftar masuk telah dihentikan,” kata kenyataan di laman web lapangan terbang itu.

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong telah menasihati penumpang untuk memberi perhatian kepada maklumat penerbangan terkini melalui laman web lapangan terbang dan aplikasi mudah alihnya.

“Semua penumpang dinasihatkan untuk meninggalkan bangunan terminal secepat mungkin. Penumpang yang terjejas sila hubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk urusan penerbangan,” menurut notis lapangan terbang.

Semalam (12 Ogos), lapangan terbang tersebut ‘lumpuh’ daripada aktiviti hariannya ekoran dibanjiri penunjuk perasaan pro-demokrasi. Tunjuk perasaan tersebut telah memasuki hari keempat selepas berlaku ketegangan.

Anthony Kwan|Getty Images

Pihak polis pula difahamkan telah menggunakan gas pemedih mata lada di stesen kereta api, selain menembak para penunjuk perasan dengan jarak dekat menggunakan peluru lada.

Penunjuk perasaan di lapangan terbang tersebut menyatakan slogan yang mengutuk ‘black police’ sambil memegang kertas yang bertulis “Polis HK membunuh kami”, “An Eye for An Eye” dan “Kami mahu memilih Ketua Eksekutif kami – permintaan oleh penunjuk perasaan yang berkali-kali mengulanginya sejak 2 bulan setengah lalu, selain mahu rang undang-undang ekstradiksi yang membolehkan orang awam dihantar ke tanah besar untuk perbicaraan ditarik semula.

Manan Vatsyayana|AFP|Getty Images

Salah seorang mangsa yang juga merupakan anggota medik terpaksa dimasukkan ke hospital setelah ditembak menggunakan pellet di bahagian matanya. Sesetengah penunjuk perasaan juga bertindak dengan menutup mata kanan bagi bersolidariti untuk wanita yang mengalami kecederaan tersebut.

Tiada keganasan dilaporkan berlaku pada waktu petang 12 Ogos dan pihak penganjur telah mengingatkan para peserta untuk memegang prinsip agar tiada sebarang perbalahan dan vandalisme dibuat sepanjang tunjuk perasaan dibuat.

Philip Fong|AFP|Getty Images

Kerajaan Beijing dan Hong Kong telah mengambil sikap yang tegas terhadap penunjuk perasaan yang bertahan lebih daripada dua bulan, selain mengutuk mereka sebagai ganas dan radikal.

Untuk ketiga kalinya dalam masa lebih dua minggu, Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau China, agensi tertinggi Beijing yang menguruskan hal ehwal Hong Kong, mengadakan sidang akhbar pada 12 Ogos, menyanjungi polis yang cedera semasa operasi penyebaran pada hujung minggu.

Jurucakap kerajaan, Yang Guang, menuduh penunjuk perasaan melakukan perbuatan yang memberi isyarat “keganasan” yang mengancam kehidupan masyarakat di Hong kong. Rejim China telah menggunakan ancaman keganasan untuk membenarkan penindasan minoriti dan kumpulan agama di wilayah Xinjiang dan Tibet, yang telah menarik perhatian pemerintah Barat dan kumpulan hak asasi.

Yang Guang turut meminta agar pihak berkuasa di Hong Kong untuk kekal tegas dan tidak berlembut dengan peserta.

Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific Airways telah diberi amaran mengenai kesan disiplin bagi pekerja yang terlibat dalam ‘protes haram’ berkenaan. Pihak berkuasa penerbangan China sebelum ini menuntut syarikat penerbangan itu menggantung anggota staf yang terlibat dalam protes.

Walaupun terdapat kritikan yang berterusan daripada pihak berkuasa Hong Kong dan Beijing, para penunjuk perasaan tidak gentar malah terus menarik sokongan rakyat tempatan dengan lebih meluas. Ini dapat dibuktikan dengan pemberian makanan dan minuman untuk peserta di lapangan terbang.

Manakala protes pada hujung minggu di bandar pula menyaksikan ramai penduduk keluar daripada rumah dan menuntut polis berhenti menggunakan gas pemedih mata.

Sementara itu, sekumpulan penunjuk perasaan bertopeng turut mengadakan sidang media pada hari yang sama dan mengkritik keganasan yang dilakukan oleh pihak polis yang menyebabkan Hong Kong dilanda ‘minggu paling gelap’ dalam sejarah.

“Hong Kong telah menjadi medan penyeksaan semalaman”, kata mereka dalam satu kenyataan. Mereka menambah bahawa penembakan gas pemedih mata di stesen keretapi bawah tanah Kwai Fong mengabaikan arahan keselamatan pengeluar – yang mengatakan peranti itu terhad kepada kegunaan luaran sahaja.

“Kami melihat Stesen Kwai Fong sedang berubah menjadi ruang gas. Penunjuk perasaan juga berulang kali dipanggil dan dilayan seperti ‘lipas’ oleh polis”, kata jurucakap, Jerry Chan.

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular