SEREMBAN – Pihak polis yakin bahawa mayat yang ditemui kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun, Pantai, Nilai, Negeri Sembilan ialah remaja Ireland yang hilang, Nora Anne Quoirin.

Walaupun identiti mayat masih tidak dapat disahkan segera, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata mereka mempunyai “syak yang munasabah” bahawa mayat yang ditemui adalah milik remaja perempuan berusia 15 tahun itu.

“Kami sangat yakin, tetapi kita perlu menunggu pihak keluarga mengesahkannya,” kata Datuk Mazlan Mansor.

Facebook | Polis Negeri Sembilan

Mayat tersebut ditemui tanpa pakaian tetapi beliau menambah bahawa masih terlalu awal untuk menyatakan sekiranya terdapat unsur jenayah yang terlibat kerana pihak berkuasa perlu menunggu pemeriksaan bedah siasat selesai.

Menurut Datuk Mazlan Mansor, mayat telah diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk pemeriksaan, dikenal pasti dan proses bedah siasat.

“Saya telah bertemu dengan keluarga Nora Anne dan keluarganya akan pergi ke hospital tidak lama lagi untuk mengenal pasti mayat terbabit,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata satu mayat wanita ditemui pada jam 1.57 petang.

“Timbalan saya (Penolong Kanan Pesuruhjaya Che Zakaria Othman) dan anggota polis unit forensik telah memasuki lokasi pada jam 2.05 petang dan sampai di tempat kejadian jam 2.30 petang,” katanya kepada pemberita sambil menambah bahawa mayat tersebut masih dalam keadaan baik.

Situasi menjadi tegang di sekitar resort tersebut di lokasi pencarian Nora Anne hilang apabila kenderaan unit forensik polis dilihat keluar dan masuk dari kawasan tersebut yang ia mula dikawal rapi.

Pihak polis mengepung pintu masuk resort pada kira-kira jam 2.30 petang manakala kenderaan unit forensik dilihat telah memasuki kawasan tersebut pada jam 3.30 petang.

Dua kenderaan unit forensik dilihat memasuki kawasan resort itu semula pada jam 3.50 petang.

Ibu bapa Nora Anne, Sebastien dan Maebh, dilihat memasuki kawasan tersebut tidak lama selepas itu.

Ini adalah hari ke-10 pencarian Nora Anne Quoirin. Keluarga Quoirin tiba di Nilai, Negeri Sembilan untuk bercuti selama dua minggu di Malaysia dan mendaftar di pusat peranginan itu sehari sebelum remaja ini didapati hilang pada jam 8 pagi keesokan hari.

Pada 4 Ogos, keluarganya mendapati Nora Anne hilang, dengan tingkap besar di salah satu bilik yang telah dibuka.

Keluarganya menegaskan bahawa remaja ini telah diculik tetapi tiada bukti yang menyokong dan pihak polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes hilang, dan pasukan penyiasat turut melihat semua sudut yang mungkin, termasuk penculikan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara besar-besaran telah dijalankan oleh beberapa pasukan yang terdiri daripada anggota polis, termasuk ahli batalion pasukan Senoi Praaq, agensi kerajaan, penduduk Orang Asli dan para sukarelawan.

Helikopter dilengkapi dengan radar inframerah turut digunakan dalam operasi pencarian.

Walaupun keluarga Quoirin tidak dibenarkan terbabit dalam pencarian untuk memastikan mereka selamat memandangkan kawasan pencarian itu agak curam dan berbahaya, mereka turut melakukan beberapa usaha seperti rakaman suara Maebh yang menyuruh anak perempuannya pulang ke rumah dengan bantuan pasukan pencari dan penyelamat.

Keluarga Quoirin turut menawarkan wang ganjaran sebanyak RM50,628 bagi sesiapa yang dapat memberi maklumat mengenai kehilangan Nora Anne.

Dalam perkembangan terbaru, ahli keluarga Nora Anne telah mengesahkan mayat wanita yang ditemui adalah Nora Anne Quoirin.

Sumber : Astro Awani, Polis Negeri Sembilan|FacebookHarian Metro

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular