Tahukah anda apakah punca yang paling banyak membawa kepada kematian? Sakit jantung, kegagalan buah pinggang atau mungkin serangan angin ahmar? Namun percaya atau tidak serangga kecil seperti nyamuk juga sebenarnya mampu membunuh nyawa seseorang.

Nyamuk mungkin dilihat sebagai serangga kecil yang boleh dihapuskan dengan menggunakan semburan serangga namun spesies ini jugalah yang mampu menyebarkan virus penyakit di seluruh dunia.

Baru-baru ini, seorang pramugari Thai Lion Air dilaporkan meninggal dunia kerana demam denggi berikutan digigit nyamuk aedes.

Mangsa tersebut, Apitchaya Jareondee dan beberapa orang ahli keluarganya dikatakan mengalami demam panas dan sakit kepala yang teruk sebelum dikejarkan ke Hospital Lanna di Chiang Mai.

Selepas menerima rawatan doktor mengesahkan mereka sekeluarga mengalami demam denggi akibat gigitan nyamuk dan dinasihatkan untuk melakukan pemeriksaan darah setiap hari.

Malangnya gadis berusia 25 tahun tersebut telah mengalami jangkitan yang teruk, mengalami pendarahan serta kegagalan organ dan akhirnya meragut nyawanya, 5 ogos lalu.

Sepupunya, Surin Jareondee berkata, keluarga Apitchaya telah melakukan pelbagai cara menangani pembiakan masalah nyamuk di rumah termasuklah menutup semua tingkap rumah.

Namun, berikutan musim hujan berterusan menyebabkan semakin banyak nyamuk di kawasan rumah mereka sehingga gadis itu maut akibat jangkitan selepas digigit nyamuk.

Menurut Pensyarah dan Pakar Kecemasan Jabatan Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Mohd Hisham Mohd Isa, yang dipetik Harian Metro, demam denggi jangkitan virus disebabkan gigitan nyamuk Aedes betina yang dijangkiti virus denggi.

Katanya, dianggarkan 50 juta jangkitan demam denggi berlaku setiap tahun di seluruh dunia.

Jelas Dr Mohd Hisham, pesakit yang dijangkiti akan merasa tanda penyakit denggi dalam tempoh tiga hingga 14 hari setelah digigit nyamuk berkenaan.

Katanya, antara gejala adalah demam, sakit kepala, sakit otot dan sendi, lesu atau lemah badan, hilang selera makan dan ruam di kulit.

“Jika penghidap demam denggi mempunyai gejala muntah atau cirit birit berterusan, sakit perut, pendarahan pada bahagian hidung, gusi, najis berdarah atau darah haid yang lebih daripada biasa mereka perlu segera mendapatkan rawatan.

“Selain itu, jika berasa terlalu lesu atau letih, susah bernafas atau hati bengkak juga tidak boleh dibiarkan kerana boleh mengakibatkan pesakit mengalami kesan lebih buruk,” katanya.

Kata Dr Mohd Hisham, pada fasa lebih kritikal, pesakit akan mengalami tekanan darah rendah, pendarahan pada rongga dan terdapat air di paru-paru atau bahagian abdomen.

“Dari segi rawatan, tiada yang boleh diberikan secara khusus kerana tiada vaksin yang mampu mencegah denggi dan penggunaan antibiotik juga tidak membantu untuk merawat pesakit.

Sementara itu menurut infosihat.gov.my terdapat beberapa jenis cara untuk mencegah demam denggi :

  1. Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk
  2. Membuang bekas yang boleh menakung air
  3. Pastikan tangki air, bekas tadahan hujan seharusnya ditutup
  4. Pastikan pasu-pasu bunga dan bekas tadahan dibuang airnya sekurang-kurangnya seminggu sekali
  5. Pastikan saliran atap sentiasa mengalir
  6. Membela ikan di dalam kolam ikan untuk mengurangkan jentik-jentik
  7. Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
  8. Mengambil langkah-langkah melindungi diri untuk mengelakkan gigitan nyamuk seperti
  • Pastikan tingkap dan pintu sentiasa ditutup
  • Sapukan ubat penghalau nyamuk pada anggota terdedah kepada gigitan nyamuk
  • Memakai baju berwarna cerah dan berlengan panjang dan seluar panjang sewaktu keluar rumah
  • Pasangkan ubat lingkaran nyamuk dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL KESIHATAN

Video Popular