KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mengalami cuaca panas dan kurang taburan hujan sehingga Oktober ini kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau menjelaskan selain Malaysia, beberapa negara lain dijangka mengalami cuaca sama iaitu Singapura, Sumatera dan Indonesia.

“Kita jangka akan mengalami kekurangan taburan hujan dengan cuaca lebih panas dan kering… tahun ini tanpa fenomena El Nino dan La Nina sehingga Oktober,” katanya yang dipetik Astro Awani.

Terdahulu beliau ditanya mengenai intipati Mesyuarat Ke-21 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Sub-Wilayah Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang berlangsung di Brunei.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan beliau berkata, kesemua lima negara terlibat telah membentangkan pelan yang dilakukan bagi menangani kebakaran dan jerebu di tempat masing-masing.

Mesyuarat tahunan itu membabitkan empat negara ASEAN lain iaitu Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand, diadakan bagi memantau dan memperincikan langkah yang diambil dalam mengatasi jerebu merentasi sempadan itu.

“Antara maklumat tindakan yang dikongsi ialah menjalankan pemantauan cuaca dan titik panas secara berterusan, menguatkuasakan undang-undang dan mensiapsiagakan peralatan dan sumber tenaga manusia untuk sama-sama memantapkan pemadaman kebakaran,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau berkata, inisiatif untuk menangani masalah jerebu di peringkat ASEAN dimulakan selepas episod pencemaran yang serius pada 1997 yang telah membawa kepada termeterainya perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu merentasi sempadan ditandatangani 10 negara di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2002.

Sumber: Bernama, Berita Harian

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular