MIRI: Sekumpulan pekerja kargo di Lapangan Terbang Miri di sini gempar dengan penemuan kotak misteri berwarna coklat yang tertera ‘jangan campak! ada bom di dalam’ kelmarin.

Kejadian tersebut yang berlaku pada 7 Ogos lalu dikesan selepas pihak polis menerima panggilan kecemasan kira-kira 9.29 malam daripada pihak lapangan terbang berikutan penemuan kotak tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, sepasukan anggota dari Unit Bom Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri kemudian dikejarkan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

“Sebaik tiba, pihak kami ditunjukkan bungkusan kotak dengan tulisan ‘Jangan Campak, Ada Bom Di Dalam’.

“Kotak itu diletupkan demi keselamatan namun pemeriksaan mendapati ia mengandungi alat ganti motosikal sahaja,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Hasil siasatan awal, kotak misteri yang tiba diri Miri pada 7.23 malam menggunakan kargo kapal terbang dari Kuala Lumpur selepas dikesan oleh pekerja kargo.

Sementara itu, polis berjaya mengesan pengirim kotak berkenaan, Fahri Amaruddin dan mengakui menulis ayat berkenaan supaya barangan yang dikirim selamat tiba ke destinasi.

“Kita tulis itu (Jangan campak, ada bom di dalam) biar dia (barang) tidak pecah sebab apabila masuk sini (Sarawak) barang sudah pecah,”akuinya selepas dihubungi pihak polis.

Fahri yang dipetik Astro Awani berkata, tindakannya itu satu kesilapan apabila menulis perkataan bom di atas kotak itu.

Terangnya lagi, dia sering menghantar alat gantian motosikal di Sabah dan Sarawak memandangkan mendapat permintaan tinggi dari pembeli di kedua-dua negeri itu.

Bagaimanapun, dia mengalami kesukaran apabila terpaksa membayar ganti rugi apabila alat gantian yang dihantar pecah walaupun sudah ditulis ‘barang mudah pecah’.

Katanya, kejadian pertama kali itu akan menjadi pengajaran buatnya di masa depan.

 

 

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular