KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan membatalkan notifikasi terhadap tujuh produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun dan menasihatkan orang ramai menghentikan penggunaannya serta-merta.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, produk berkenaan terdiri daripada 3rd Series Yanko Fade Out Cream Day Cream; 5th series Yanko Fade Out Cream Day Cream; dan 7th Series Yanko Whitening Cream Day dari syarikat Lurveya Sdn Bhd.

KKM

Selain itu, produk terlibat ialah Fjura Face Polish Treatment dari syarikat Thefjura Marketing, Dnars Golden Cream (Rohban Trade Sdn Bhd); Glow Glowing N Glowing (Qalbu Ocean Enterprise); dan Apple Diamond Day Loose (Glowing Expert Apple Diamond).

KKM

Jelas beliau kesemua produk itu didapati mengandungi merkuri yang dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

“Merkuri boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf selain boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

KKM

“Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya yang dipetik Sinar harian.

Katanya, notifikasi produk berkenaan sudah dibatalkan dan produk berkenaan tidak lagi dibenarkan di pasaran Malaysia.

KKM

Beliau berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta berikutan melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berkenaan.

“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk terbabit dalam kadar segera.

Katanya, individu melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyarankan kepada orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik tersebut agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan.

Sumber: KKM

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular