JOHOR BAHRU: Keterujaan sebuah keluarga dari Bahrain untuk melancong ke Malaysia bertukar menjadi tragedy apabila salah seorang daripada anak keluarga berkenaan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat sembilan di sebuah hotel Iskandar Puteri.

Dalam kejadian yang berlaku 5 Ogos lalu, mayat kanak-kanak berusia lima tahun itu ditemui terlentang berhampiran kolam renang hotel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis menerima laporan kejadian menerusi panggilan MERS 999 pada pukul 6.05 petang yang memaklumkan terdapat seorang individu terjatuh dari bangunan sebuah hotel.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu jatuh dari dari bilik sewa di tingkat sembilan hotel berkenaan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya yang dipetik Kosmo.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, ketika kejadian ibu mangsa tidak menyedari pergerakan anaknya kerana memasak.

“Mangsa ketika itu bermain dengan adiknya di ruang tamu di bilik sewa manakala suaminya turun ke bawah hotel untuk membeli barang keperluan,” ujarnya.

Katanya selepas beberapa minit, ibu mangsa tidak mendengar suara kedua-dua orang anaknya sebelum mencari di dalam bilik tidur dan tandas, namun mendapati mangsa tiada dan cuma adik mangsa sahaja berada di ruang tamu.

Pada masa sama, wanita berkenaan ternampak tingkap di ruang tamu terbuka dan terus melihat keluar tingkap lalu mendapati kanak-kanak berkenaan sudah terjatuh ke bawah.

Sementara itu, saksi kejadian iaitu pengawal keselamatan hotel memberitahu, dia ternampak kanak-kanak itu terjatuh ke tingkat tiga berhampiran kolam renang namun tidak melihat dari tingkat berapa kanak-kanak berkenaan terjatuh.

Saksi kemudian menghubungi pihak pengurusan hotel untuk maklumkan kejadian kepada pihak polis.

Tiada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk bedah siasat.

Isnin lalu, keluarga berkenaan baru sahaja tiba di Johor Bahru untuk melancong.

Bapa mangsa membuat laporan polis dan mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Kosmo!, Berita Harian

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular