MAKKAH: Sekumpulan 26 rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah setelah kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan kemasukan mereka untuk mengerjakan haji pada musim ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, kesemua bakal haji itu tiba di Jeddah menggunakan penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) namun visa haji yang diperoleh oleh kumpulan itu tidak dapat disahkan oleh pihak Imigresen Arab Saudi.

“Kumpulan yang diuruskan oleh sebuah syarikat pelancongan itu tiba pada pukul 7 petang semalam tanpa wakil dari syarikat tersebut,” katanya yang dipetik Utusan Online.

Terdahulu beliau mengadakan sidang akhbar selepas melawat jemaah di Maktab 78 di sini.

Fuziah menegaskan perkara berkenaan di luar bidang kuasa Tabung Haji kerana mereka bukan pemegang visa rasmi yang diperoleh kerajaan Malaysia dan segala urusan dilakukan melalui syarikat persendirian.

Tegas beliau kesemua Jemaah berada dalam terurus dan memberi jaminan Tabung Haji akan memastikan kebajikan mereka sepanjang berada di sini

“Petugas haji kita sedang menjaga kebajikan mereka, jaga makan minum pastikan mereka dalam keadaan selesa dan sebagainya. Apa boleh kita buat adalah melihat kepada kebajikan mereka.”

“Bagaimanapun, saya ingin memaklumkan kepada keluarga mereka di tanah air, Tabung Haji berusaha memastikan mereka dalam keadaan selesa dengan mendapat makanan, minuman dan tempat tinggal,” tegasnya.

Fuziah berkata, jemaah rasmi jemaah Malaysia adalah mengikut kuota biasa iaitu seramai 30,200 orang, di samping beberapa ribu yang memperoleh kuota tambahan.

Beliau berkata pada masa ini dipercayai pergerakan kumpulan itu diuruskan sebuah syarikat, bagaimanapun kerajaan Malaysia menyerahkan sepenuhnya siasatan serta tindakan terhadap perkara itu kepada pihak kerajaan Arab Saudi.

Kumpulan berkenaan difahamkan akan diterbangkan pulang ke Malaysia malam ini setelah semua proses diperlukan kerajaan Arab Saudi diselesaikan.

 

 

 

 

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular