JASIN: Kira-kira 64 peratus daripada 945 kes pembuangan bayi ditemui meninggal dunia dalam tempoh 2010 hingga 2018 kerana dibuang di tempat tidak sepatutnya seperti di tandas awam dan pembuangan sampah.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, remaja perempuan yang hamil luar nikah sepatutnya tidak membuang bayi yang dilahirkan sebaliknya menyerahkannya kepada pihak berkuasa atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar bayi tersebut dapat diselamatkan.

“Setakat ini, kira-kira 1,000 pasangan yang sudah berkahwin tersenarai dalam senarai menunggu pengambilan anak angkat JKM dan mereka sentiasa menunggu peluang berkenaan.

“Fokus utama kami sekarang ini ialah untuk menyelamatkan nyawa bayi yang dilahirkan kerana mereka tidak bersalah dan nyawa mereka sangat berharga,” katanya.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan di Sekolah Harapan Negeri Melaka pada 2 Ogos yang lalu.

Sekolah Harapan yang dibuka pada 2011 itu bertujuan melindungi golongan remaja perempuan yang hamil luar nikah dan ketika ini seramai 10 penghuni berusia 16 hingga 27 tahun ditempatkan di pusat tersebut.

Sejak beroperasi sekolah berkenaan memberi perlindungan kepada 370 remaja hamil luar nikah dari seluruh negara dan menyelamatkan kira-kira 374 bayi dalam tempoh sama.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan, Johor menjadi negeri paling banyak mencatatkan kes pembuangan bayi, setakat Mei lalu.

Beliau menjelaskan, 65 kes pembuangan bayi direkodkan dari Januari hingga Mei lepas dan tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi ialah Johor, Selangor dan Kedah.

“Untuk tahun ini sahaja setakat Mei lalu, Johor menjadi negeri tertinggi kes pembuangan bayi sebanyak 13 kes diikuti Selangor (11) dan Kedah sebanyak lima kes.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 65 kes pembuangan bayi dilaporkan dan ini adalah satu angka besar yang perlu dikurangkan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segambut turut menasihatkan remaja perempuan yang melahirkan anak luar nikah ini boleh mendapatkan bantuan dengan menelefon Talian Kasih 15999 dan JKM akan ke lokasi mereka berada untuk membantu.

“Ada banyak ibu bapa yang sedang menunggu peluang untuk menjaga bayi ini dan sekiranya bayi tersebut diserahkan kepada JKM atau tidak dibuang di tempat yang tidak sepatutnya, nyawa mereka akan dapat diselamatkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak terutama keluarga dan masyarakat dapat memberi sokongan kepada remaja yang hamil anak luar nikah dan bukannya meminggirkan mereka.

“Mereka masih muda dan memerlukan sokongan keluarga, komuniti selain pusat kebajikan seperti pusat perlindungan seperti ini yang memberi pengisian agama kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, kes kehamilan bayi luar nikah di negara ini iaitu mereka yang berusia 10 tahun hingga 19 tahun menurun daripada 18,000 kes pada 2011 berbanding 10,501 kes pada tahun lepas.

Katanya kempen mencegah pembuangan bayi sedang giat dilaksanakan kementeriannya dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pihak Lebuhraya Utara Selatan dengan melekatkan poster berserta nombor Talian Kasih 15999 di pintu tandas di 22 Kawasan Rehat dan Rawat di seluruh negara selain Malaysia Airport Holdings Bhd, syarikat telekomunikasi dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Sumber: Malaymail, Berita Harian

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular