KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin gagah menamatkan kayuhan basikal sejauh 78 kilometer walaupun berdepan sedikit insiden ketika menghabiskan pertandingan berkenaan, Sabtu lalu.

Beliau yang menyertai perlumbaan kayuhan basikal Lebuhraya RHB LEKAS 2019 di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) mengalami kecederaan sehingga menyebabkan lutut kirinya tercedera.

Bagaimanapun, kemalangan terbabit tidak mematahkan semangatnya apabila masih mampu menamatkan perlumbaan.

‘Saya baik-baik sahaja… Alhamdulillah medal kedua untuk anakku, Aafiyah,” ujarnya ketika peminat melahirkan kerisauan apabila mengetahui beliau mengalami kecederaan dalam perlumbaan berkenaan.

Bercerita kemalangan itu, Siti berkata, ketika insiden berlaku dia tidak mengayuh dalam keadaan laju.

“Nasib terjatuh semasa kayuhan basikal tak laju sangat. Saya cuba elak tayar basikal pasukan lain di hadapan,” katanya yang dipetik Berita Harian Online.

Penyanyi Anta Permana itu bagaimanapun bersyukur dapat meneruskan kayuhan dan memenangi pingat yang ditujukan khas buat puteri tersayang, Siti Aafiyah Khalid.

“Ini pengalaman yang bagus. Pengayuh kental lah katakan. Alhamdulillah… Ini pingat kedua untuk Aafiyah,” ujarnya yang mendedikasikan pingat tersebut buat puteri tunggalnya.

Dalam masa sama beliau turut melahirkan terima kasih dan sokongan kepada suami dan rakan pasukan.

“Terima kasih kepada semua pasukan saya yang banyak memberi sokongan,” katanya yang ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dalam perlumbaan itu.

“Walaupun ibu jatuh, koyak lutut, ibu teruskan hingga ke akhir garisan. Terima kasih #ctdkteam yang banyak beri sokongan,” tulis Siti.

Beliau turut berkongsi sekeping foto yang sempat dirakamkan oleh penunggang basikal lain ketika kemalangan terbabit berlaku.

Acara anjuran bank RHB itu membabitkan pelumba basikal tempatan dan antarabangsa yang bertanding dalam beberapa kategori mengikut jarak.

Momen bermakna yang dikongsikan penyanyi kesayangan ramai itu menyuntik semangat dan inspirasi peminatnya terutama wanita untuk tidak mudah putus semangat biarpun berdepan ujian.

Malah, ada juga yang mendoakan agar penyanyi lagu Purnama Merindu itu segera pulih daripada kecederaan yang dialaminya.

Sumber: Berita harian, Astro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: HIBURAN NASIONAL

Video Popular