Kisah bayi Ainul Mardhiah mendapat perhatian umum sejak beberapa bulan lalu selepas penyakit kanser ‘Germ Cell Tumor’ yang dideritainya turut dirasai seluruh rakyat Malaysia. Anak kecil yang berjaya menyatukan seluruh negara untuk menyatakan rasa simpati, mendoakan dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi demi melihatnya sembuh.

Warga Malaysia dan dunia berdoa bersama harapan agar ibu bapa bayi Ainul Mardhiah dapat melihat si kecil ini memulakan langkah pertama dalam keadaan sihat dan gembira. 

Berkat doa semua, bayi Ainul Mardhiah yang berusia 11 bulan kini telah beransur pulih dan selamat kembali ke Malaysia pada pagi 28 Julai setelah berada di Hospital Great Ormond Street di London selama lebih 2 bulan untuk menjalani pembedahan membuang tumor di mulutnya dan meneruskan rawatan susulan.

“Alhamdulillah. Selamat tiba di tanah air pada pukul 7 pagi. Semua sihat dan segala urusan dipermudahkan olehNya,” kapsyen bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak di laman Facebook bersama muat naik gambar si comel ini di dalam pesawat Malaysia Airlines MH0003 ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

Ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahmad Safiuddin berkata, “Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menanti dan mendoakan. Alhamdulillah, kami selamat sampai dan Ainul sihat. Semua selamat dan tiada masalah di dalam 12 jam penerbangan.”

Menurut Ahmad Safiuddin kepada media, Ainul Mardhiah akan dibawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani rawatan susulan dan pemantauan.

Kepulangan bayi Ainul Mardhiah bersama bapa dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi disambut oleh 20 orang ahli keluarga terdekat di KLIA. Turut bersama mengiringi Ainul ialah Perunding Anaesthesiogist dan Pakar Penjagaan Kritikal Hospital Pakar Avisena, Kolonel (B) Datuk Dr Jaseemudeen Abu Baker dan Dr Gunalan Arumugam dari Hospital Subang Jaya, yang menjadi doktor sukarelawan dari Malaysia untuk pasangan ini.

Pembedahan membuang tumor seberat 200 gram selama 5 jam pada 10 Jun di London telah berjaya dilakukan oleh sekumpulan 12 orang doktor pakar dalam pelbagai bidang selepas satu inisiatif segera telah diambil oleh pelatih pakar bedah dari Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri. Berkat usaha dan perhatian Dr Amalina telah berjaya membawa bayi Ainul dan ibu bapanya dengan selamat ke London bagi mendapatkan rawatan segera dan seterusnya menjalani pembedahan.

Dalam satu muat naik terbaru di Instagram, Dr Amalina menulis, “Saya akan rindukan kamu, Ainul. Ia merupakan satu perjalanan yang penuh emosi. Ainul dan ibu bapanya benar-benar tabah menghadapi pelbagai halangan dan cabaran, dan mereka tidak pernah berputus asa. Alhamdulillah, Ainul menunjukkan kemajuan dengan cemerlang. Saya tidak sabar untuk melihat kamu berlari di taman seperti anak-anak lain kelak. Terima kasih kepada semua yang telah terlibat dan menyumbang dalam menjayakan misi yang hebat ini. Anda semua tahu siapa anda. Selamat kembali ke Malaysia dan semoga bertemu lagi di London. Kami semua sayangkan kamu!”

Begitu juga doa kami semua buat bayi Ainul Mardhiah. Semoga cepat sembuh dan menjalani kehidupan sihat seperti anak-anak lain. Terima kasih Dr Amalina dan pasukan pakar di London kerana telah menjaga Ainul dengan baik.

Sumber : Ahmad Safiuddin/Facebook , dramalinabakri/Instagram

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP INSPIRASI

Video Popular