LANGKAWI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun 10 bulan dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta datuknya, Isnin lalu.

Kejadian yang berlaku di Taman Sungai Raya, Jalan Air Hangat, Kuah Langkawi itu disedari selepas kanak-kanak tersebut ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap di dalam kereta datuknya. Dia dipercayai tertinggal kira-kira dua jam oleh datuknya di dalam kereta jenis Perodua Bezza di luar pagar rumah berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, terdahulu mangsa dikatakan menemani datuknya untuk menjemput kakak dan abangnya yang pulang dari sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Ladang Sungai Raya, Kisap di sini.

“Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian belakang bersama kakak dan abangnya dipercayai telah tertidur.”

“Setelah sampai ke rumah, datuknya terus masuk ke dalam rumah dan beranggapan mangsa telah keluar dari kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Kosmo!.

Namun selepas dua jam berlalu, ibu mangsa yang baru bangun dari tidur menyedari anak bongsu tiada bersama ahli keluarga dan cuba mencari mangsa.

“Ibu mangsa dan datuknya pergi ke kereta dan mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di bahagian tempat duduk belakang dan sudah tidak sedarkan diri.

“Ketika kejadian, kesemua tingkap dan pintu kereta bertutup rapat, mangsa yang tidak menunjukkan sebarang tindak balas seterusnya dibawa ke Hospital Langkawi untuk rawatan lanjut dan kemudiannya disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

Zainuddin berkata, sehingga kini hasil bedah siasat yang dilakukan masih belum diperoleh tetapi laporan awal diterima menunjukkan punca kematian berkemungkinan strok haba.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Zainuddin menasihati ibu bapa dan penjaga supaya lebih peka dan sentiasa mengawasi anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular