Guru adiwira Samuel Isaiah atau Cikgu Sam amat dikenali kerana usaha gigih dan pendekatannya dalam kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris kepada anak Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Runchang, Muadzam Shah, Pahang.

Usahanya telah membuahkan hasil dan kejayaan sehingga mendapat perhatian negara dan masyarakat serta menjadi guru contoh yang memberi inspirasi kepada guru-guru lain. 

Guru Bahasa Inggeris ini merupakan guru yang amat disayangi oleh kesemua anak muridnya. Sehinggakan ketika Cikgu Samuel mengumumkan bahawa beliau akan melangsungkan perkahwinan, anak-anak murid Orang Asli ini adalah antara yang sangat teruja untuk menghadiri majlis perkahwinan ‘Santa Tuha’ (orang tua) mereka.

Mohd Fadli Salleh/Facebook

Menerusi laman Facebook, Cikgu Samuel berkongsi kisah serta foto majlis perkahwinan tersebut dengan dihadiri anak-anak muridnya.

Cikgu Samuel berkata majlis perkahwinan tersebut menjadi kenangan paling indah apabila ia telah dihadiri oleh 100 orang anak murid yang sanggup melalui perjalanan sejauh 200 kilometer dari bandar Muadzam Shah semata-mata untuk memeriahkan majlis perkahwinannya.

Menurut Cikgu Sam, sebelum beliau berkahwin, isterinya sudah sedia maklum bahawa anak-anak muridnya merupakan orang terpenting dan menjadi sebahagian daripada kehidupannya. Isterinya turut mengetahui anak-anak Orang Asli ini dianggap seperti anak-anak sendiri.

Cikgu Samuel berkata, “Isteri saya seorang yang sangat memahami dan menerima baik anak-anak murid saya. Dia terus menjadi penyokong kuat dalam apa sahaja keputusan yang saya lakukan dan saya berasa amat bersyukur dengannya.”

Ketika beliau sedang melakukan persiapan perkahwinan, anak-anak muridnya menjadi antara orang yang paling gembira apabila turut membantunya mengedarkan kad jemputan kepada guru-guru di sekolah. 

Samuel Isaiah / Facebook

“Jangan lupa datang ke majlis perkahwinan Cikgu Sam, terima kasih,” kata anak-anak muridnya yang berusia 10 hingga 11 tahun ketika mengedarkan kad jemputan itu kepada guru-guru.

Melihat keterujaan mereka yang begitu teringin menjadi sebahagian orang penting dalam majlis perkahwinannya,

Cikgu Samuel telah membuat keputusan untuk menyewa sebuah bas yang hanya mampu menempatkan 50 orang penumpang dengan kos berjumlah RM1,000. Namun berkat pertolongan guru lain, kos sewa itu dapat dikurangkan kepada RM700.

Sebuah bas yang hanya dapat membawa 50 penumpang adalah tidak mencukupi, dan memandangkan lebih ramai lagi anak muridnya turut menyatakan harapan supaya dapat menghadiri majlis perkahwinannya itu, Cikgu Sam turut berasa bimbang sekiranya tidak dapat membawa kesemua mereka.

Beberapa hari sebelum majlis perkahwinan, Cikgu Samuel telah berjaya menyewa sebuah bas lebih besar yang mampu menempatkan 60 anak murid dengan 2 orang guru.

Samuel Isaiah / Facebook

Akhirnya, dengan bantuan beberapa orang guru, seramai 100 orang anak murid Orang Asli telah melakukan perjalanan kembara sejauh 200 kilometer untuk menghadiri majlis perkahwinan Cikgu Samuel, dan ini termasuk bekas anak muridnya yang kini sudah berada di sekolah menengah.

Cikgu Samuel menulis, “Beberapa orang guru telah membawa pasukan ragbi dan tarian, manakala anak murid saya yang sudah bersekolah menengah menaiki bas dengan membayar tambang sendiri ke majlis perkahwinan saya.”

Majlis perkahwinan Cikgu Samuel dan isterinya menjadi begitu bermakna dan meriah pada hari itu dengan kehadiran anak-anak murid Orang Asli ini. Kehadiran mereka benar-benar telah menyentuh hati Cikgu Samuel serta para hadirin yang lain.

Tulis Cikgu Sam, “Saya dan isteri berasa amat tersentuh dan hampir menitiskan air mata apabila melihat jumlah anak-anak yang telah hadir. Mereka menerima kami dengan tangan terbuka dan memberi keberkatan kepada perkahwinan kami.”

Samuel Isaiah / Facebook

Anak-anak murid Cikgu Samuel benar-benar berasa gembira kerana dapat meraikan perkahwinan yang menjadi detik bersejarah dalam kehidupan guru kesayangan mereka.

Mereka turut berkerja keras dan gigih berlatih untuk menghadiahkan Cikgu Samuel dan isteri dengan persembahan tarian kebudayaan Orang Asli.

Cikgu Samuel berkata, “Persembahan tarian anak-anak yang comel ini begitu menarik perhatian dan menghiburkan sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada para tetamu. Selepas itu ramai pula yang mahu bergambar dengan mereka. Mereka menjadi bintang dalam majlis perkahwinan saya.”

Samuel Isaiah / Facebook

Di akhir perkongsian itu, Cikgu Samuel menulis, “Saya berasa amat bangga dan tidak akan melupakan anak-anak ini seumur hidup. Mereka adalah wira yang telah mengubah kehidupan dan saya selamanya berasa amat bersyukur kerana bertemu mereka. Terima kasih, anak-anak. Saya sayang kamu semua.”

Tahniah buat Cikgu Samuel dan isteri. Teruskan berpegang kepada pedagogi hati dalam mendidik anak bangsa menjadi cemerlang dan memberi inspirasi kepada semua.

Sumber : Samuel Isaiah / Facebook

Maybe you're interested :

Share

Video Popular