HONG KONG – Kemarahan umum semakin memuncak di Hong Kong ekoran campur tangan kumpulan kongsi gelap yang menyerang orang ramai di stesen kereta api bawah tanah MTR Yuen Long, menyebabkan 45 orang awam termasuk wartawan telah tercedera pada malam 21 Julai ketika bantahan undang-undang ekstradisi diteruskan.

Pada masa yang sama, ketika mereka sedang rancak memukul orang ramai dengan kayu dan batang besi, ketua mereka mengalami serangan jantung dan rebah. Seorang doktor kemudian menulis surat terbuka dengan menyatakan pihak mereka tetap akan menyelamatkannya kerana memikirkan etika kerjaya dan akan menasihatkannya menjadi orang yang baik.

Seramai 430,000 warga Hong Kong menyertai perarakan anti undang-undang ekstradisi dan sebahagian mereka dalam perjalanan pulang dan berada di stesen MTR Yuen Long pada kira-kira jam 10 malam apabila secara tiba-tiba orang awam telah diserang sekumpulan samseng yang memakai baju putih. Perhimpunan aman bertukar ganas apabila sekumpulan samseng mencampuri urusan politik.

Beberapa rakaman video yang tular di laman Facebook dan Twitter menunjukkan beberapa orang penunjuk perasaan telah dipukul secara rawak di stesen kereta api bawah tanah MTR Yuen Long. Klip video menunjukkan terdapat beberapa orang yang merayu supaya tidak dipukul, namun rayuan mereka tidak diendahkan.

Rakaman video turut menunjukkan seorang lelaki memakai baju putih telah rebah akibat serangan jantung ketika kumpulan ini sedang rancak memukul orang ramai. Lelaki ini kemudian disahkan sebagai ketua samseng yang mengarahkan serangan itu.

Ekoran muat naik gambar yang menjadi tular itu, seorang doktor dikenali sebagai Dr. Kwong telah menulis satu surat terbuka bertajuk, “Surat kepada Fei Tian Ge”. Dalam surat terbuka tersebut, doktor ini menulis, “Mungkin anda tidak pernah bermimpi, ketika sedang rancak mengejar orang lain dan mahu memukul mereka, anda sebenarnya sedang diserang sakit jantung.”

“Sekiranya anda mengalami serangan jantung 10 minit lebih awal, tiada rakan yang baik hati akan menyelamatkan anda. Pada masa itu, oleh kerana pasukan polis dan ahli kongsi gelap yang sedang bekerjasama, maka tiada anggota polis di tempat kejadian yang akan membantu anda untuk melakukan bantuan kecemasan yang asas.”

“Apa yang lebih ironi, orang awam yang telah dicederakan oleh anda, terpaksa pula memanggil ambulans untuk mendapatkan rawatan segera, tetapi memberikan peluang kepada anda diselamatkan dahulu kerana melihat anda sedang mengalami serangan jantung. Pada ketika ambulans datang, pasukan perubatan dan bantuan kecemasan dengan segera akan menjalankan prosedur mengawal tekanan jantung, membekalkan oksigen sebelum menghantar anda ke hospital dengan selamat. Sekiranya anda tidak diberi bantuan kejutan elektrik pada masa itu, kebarangkalian kematian anda akan meningkat sebanyak 10 peratus dalam setiap minit,” tulisnya.

Tulis Dr Wong, “Kakitangan perubatan benar-benar tidak menyukai sikap anda. Tetapi mereka lebih menghormati kerjaya dan mahu bersikap profesional kerana mereka mempunyai misi iaitu menyelamatkan orang lain dengan mengenepikan perasaan peribadi dan menjalankan tugas dengan prinsip yang asas.”

Tambahnya lagi, “Saya mempercayai kepada karma dengan sentiasa berbuat baik, akan tetapi ramai orang akan lebih mementingkan kepuasan peribadi. Saya berharap selepas anda dibangkitkan semula, anda akan lebih menghargai kehidupan, tidak kembali ke jalan yang salah, dan membawa perubahan yang positif.”

Beberapa rakaman video menunjukkan serangan kongsi gelap berbaju putih dan bertopeng di Yuen Long mendapat kerjasama pasukan polis Hong Kong. Ketika beberapa orang samseng sedang memukul orang ramai di stesen kereta api bawah tanah, dua anggota polis dilihat hanya memerhatikan perbuatan itu dan tidak bertindak untuk meleraikannya. Terdapat juga rakaman video menunjukkan ahli kongsi gelap yang berpakaian putih keluar dari kereta polis.

Paparan Skrin Video|Epoch Times

Terdapat beberapa rakaman gambar dan video oleh orang ramai yang dapat membuktikan kumpulan samseng ini bekerjasama dengan pihak polis untuk mencetuskan rusuhan itu. Ada yang melihat dengan mata sendiri mereka berkomunikasi dan bekerjasama antara satu sama lain ketika samseng-samseng ini bertindak memukul orang awam yang tidak bersalah dan tidak bersenjata.

Daerah Yuen Long terletak di kawasan New Territories yang berhampiran sempadan China di mana ia terkenal menjadi pusat kegiatan kumpulan penjenayah dan kumpulan setia pro-Beijing, yang mempunyai pengaruh besar.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL VIDEO

Video Popular