Tidak semua manusia di dunia ini dilahirkan dengan kesempurnaan. Ada yang lahir dalam keluarga berada dan sekali gus terus mewarisi harta kekayaan ibu bapa namun terpaksa berhadapan dengan isu kekurangan kasih sayang dan perhatian. Ada pula yang lahir dalam keluarga miskin sehingga tidak mampu untuk ke sekolah dek kerana yuran pengajian yang tinggi. Namun, diberikan rezeki dalam bentuk lain misalnya keluarga yang bahagia.

Menerusi perkongsian yang tular di Twitter pada 20 Julai lalu, seorang warga netizen dikenali sebagai @asfanafiey94 telah berkongsi kisah tentang sebuah keluarga yang hidup dalam kedaifan. Keadaan yang ditempuhi oleh keluarga ini benar-benar menyedihkan sehingga ke tahap anak-anak tidak lagi ke sekolah disebabkan oleh faktor kesempitan kewangan. Menurut @asfanafiey94 yang bekerja di sebuah institusi kebajikan iaitu Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN), sepanjang pengalamannya menemui orang-orang yang memerlukan bantuan, kisah keluarga ini dikatakan amat menyentuh hatinya.

Twitter

Katanya, keperitan hidup yang dilalui oleh keluarga ini begitu menusuk kerana meskipun hidup susah, mereka sekeluarga langsung tidak mengeluh. Sebaliknya, mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat yang mereka nikmati walaupun dahulunya pernah hidup mewah.

Sebelum ini, bapa ini pernah bekerja di pelantar minyak dengan gaji mencecah puluhan ribu ringgit. Namun, satu tragedi telah menimpa di mana ketika bapa ini pulang dari laut untuk menemui keluarga tercinta, dia dikejutkan dengan berita bahawa isterinya telah tiga hari meninggal dunia. Hati suami mana yang mampu menahan dugaan pemergian isteri tersayang. Apa yang dia harapkan, kepulangannya akan disambut dengan perasaan rindu tetapi hakikatnya, dia langsung tidak sempat untuk mengucup dahi si isteri buat kali terakhir. Tiada siapa menyangka kepulangannya pada hari itu adalah untuk menziarahi pusara isteri.

Twitter

Sejak peristiwa itu, bapa ini bertekad untuk berhenti bekerja ‘offshore’ dan duduk di rumah untuk menggantikan tanggungjawab isteri dalam menjaga anak-anak yang masih bersekolah. Dia sanggup mengorbankan kerjayanya untuk bekerja sebagai mekanik semata-mata kerana ingin memikul tanggungjawab menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak. Namun, pekerjaan sebagai mekanik dengan pendapatan RM500 sebulan tidak mencukupi sekali gus menyebabkan keluarga ini semakin dihimpit masalah.

Twitter

Anak sulung yang berusia 17 tahun dilaporkan tidak dapat pergi ke sekolah disebabkan oleh si bapa tidak mampu untuk mengisi minyak kereta dan menghantar anaknya ke sekolah.

Twitter

Lebih menyedihkan lagi, gadis ini adalah pelajar pintar dan sangat rajin mengulangkaji pelajaran. Meskipun tidak ke sekolah, setiap hari gadis ini akan membuat latihan dengan menggunakan buku yang ada. Malah, dia juga mempunyai jadual belajar hariannya sendiri!

Twitter

Ujar @asfanafiey94, “Kalau pergi sekolah, kawan-kawan pulaukan dia. Cikgu tak percaya masalah dia. Dia langsung tiada alat tulis untuk belajar, kertas mahjung dan dakwat pen pun dah habis. Sampai satu hari, cikgu dia sendiri minta maaf”.

Twitter

“Dia pernah jalan kaki pergi sekolah tapi jarak jauh sangat dan bapa dia memang tak boleh nak hantar kerana tiada duit untuk isi minyak. Minggu depan ujian percubaan SPM tapi dia tak dapat pergi sebab bapa dia tiada duit”.

Meskipun kehidupan mereka sekeluarga berubah 360 darjah, bapa ini tetap mengucapkan rasa syukur kerana berpeluang untuk memberikan sepenuh kasih sayang dan melihat anak-anak membesar di hadapan mata.

Ada beberapa pihak yang bertanya mengapa bapa ini tidak menukar pekerjaan yang lebih menjamin masa depan. Namun bapa ini menjelaskan bahawa dia mempunyai seorang anak OKU yang kehilangan penglihatan sejak dilahirkan. Oleh sebab anak ini memerlukan perhatian lebih, dia memutuskan untuk bekerja di rumah sahaja.

Twitter

Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian berkenaan berjaya meraih sebanyak 15,200 ulang kicau dan 5,910 jumlah suka. Malah, majoriti warga netizen turut memberikan komen dan pandangan masing-masing berkenaan keadaan yang menimpa keluarga ini.

“Kadang-kadang bila tengok macam ini rasa malu pun ada. Kita yang berkemampuan belajar pun tak nak belajar bersungguh-sungguh”.
“Kisah ini mengingatkan saya supaya sentiasa bersyukur dan menghargai perkara-perkara kecil yang saya tidak ambil berat sebelum ini”.
“Sampaikan salam kepada adik ini. Semoga dia berjaya dengan cemerlang dalam SPM”.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI NASIONAL

Video Popular