SEPANG – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan logo baharu kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Logo itu merupakan usaha pemasaran dan promosi kempen dengan menampilkan ikon Malaysia yang cukup dikenali seperti burung kenyalang, bunga raya, paku pakis liar dan warna-warna bendera Malaysia.

Secara keseluruhannya, logo berkenaan menggambarkan kepelbagaian yang terdapat dalam budaya, warisan, flora dan fauna serta pengalaman yang ditawarkan oleh Malaysia sebagai sebuah destinasi percutian.

Logo ciptaan pemuda berusia 23 tahun, Alfred Phua Hong Fook berjaya mengenetepikan ratusan logo yang diterima dari seluruh negara sepanjang tempoh pertandingan yang berlangsung pada awal tahun ini. 

Pelancaran terbabit turut disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Hasil tangan yang diangkat sebagai logo Tahun Melawat Malaysia 2020 bagi menggantikan logo lama yang dilancarkan oleh bekas menteri pelancongan dan kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, di Chiang Mai, Thailand berikutan mendapat kecaman daripada netizen kerana reka bentuk yang dianggap tidak menarik.

 Ministry of Tourism and Culture

Logo lama seperti setem itu memaparkan imej Menara KLCC; Orang Utan; monyet bercermin mata dan penyu memakai cermin mata hitam dikecam apabila rata-rata netizen menyifatkannya sebagai tidak berkualiti dan tidak bersesuaian.

Sementara itu, Dr. Mahathir dalam ucapan perasmiannya berharap kempen ini berjaya mencapai sasaran ketibaan 30 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan pelancongan RM100 bilion.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjangkau sasaran lebih tinggi untuk mempromosikan Malaysia di negara lain termasuk rantau ASEAN, China, India, United Kingdom dan Jerman.

“Kerajaan akan terus menyokong usaha membangunkan industri pelancongan dan meningkatkan kedudukan di peringkat antarabangsa.

“Tahun lalu, Malaysia berada di kedudukan 21 antara negara yang mempunyai pendapatan pelancongan yang tinggi, dengan memperoleh RM84.1 bilion seperti diumumkan Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO) yang disiarkan dalam Laporan Barometer pada Mei lalu,” katanya.

Tahun 2020 ditetapkan sebagai Tahun Melawat Malaysia 2020 dengan mensasarkan kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dengan hasil pelancongan RM100 bilion, serta fokus pada ekopelancongan, kesenian dan budaya.

Sehubungan itu, bagi menjayakan kempen, Tourism Malaysia mengadakan kerjasama dengan pihak swasta, antaranya dengan Malaysia Airlines dan AirAsia, Firefly, Malindo Air dan Malaysia Airports Holidays Bhd bagi kegiatan pemasaran serta memperuntuk dana khas Galakan Melancong Malaysia (Gamelan) berjumlah RM5 juta bagi membantu pengusaha yang terlibat dalam industri pelancongan.

Untuk rekod, Malaysia tahun lalu menerima kedatangan 25.8 pelancong luar negara.

Sementara itu, sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini, ketibaan pelancong asing mencecah hampir 11 juta orang dengan mencatatkan pertumbuhan 4.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sumber: Berita HarianMalaysiakini

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular