“Isu-isu anak muda yang sekarang ini telah menjadi isu-isu nasional”

Kami tertarik mendengar ucapan ringkas dari YB Syed Saddiq menerusi video beliau di Twitter pada 19 Julai 2019 yang lalu.

Dalam ucapannya itu, beliau mengatakan semasa mesyuarat Jemaah Menteri, beliau telah membangkitkan pentingnya untuk rakan-rakan kabinet memberi keutamaan pada isu-isu anak muda yang sekarang ini telah menjadi isu-isu nasional.

Lantaran daripada usul tersebut, Perdana Menteri dan Ahli-ahli Kabinet yang lain telah pun bersetuju untuk mengadakan satu sesi kabinet khas untuk membincangkan isu anak muda sahaja.

Jelas Syed Saddiq lagi, beliau akan mengusulkan isu ‘pay internship’ atau intership yang berbayar kerana masih ramai anak muda yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya ketika mereka membuat latihan praktikal.

Selain itu, isu ketiadaan gaji atau elaun terhadap pelajar praktikal juga dilihat sebagai satu perkara yang tidak adil.

Tweet YB tersebut telah ditonton hampir 300 ribu tontonan, 16.3 ribu retweet dan 16.3 ribu tanda suka. Rata-rata pengguna Twitter yang membalas Tweet YB tersebut bersetuju dengan cadangan itu dan menyatakan sokongan kepada YB untuk terus mengetengahkan isu anak muda tersebut.

Rata-rata anak muda menyatakan pendapat betapa perlunya syarikat-syarikat yang mengambil pelajar praktikal untuk membayar gaji atau elaun yang sesuai atau setimpal supaya mereka dapat menampung kos perbelanjaan sepanjang menjalani latihan praktikal seperti duit petrol, duit makan, duit rumah sewa dan lain-lain.

Tidak kurang juga ada anak muda yang meluahkan perasaan kecewa mereka kerana tidak mendapat bayaran atas keringat mereka sepanjang menjalani latihan praktikal sama ada di syarikat kerajaan atau swasta.

Mereka bekerja mengikut jam kerja pekerja tetap yang lain namun masih tidak diberikan sebarang gaji dan elaun.

Nurul Hidayah

Malah lebih ‘memeritkan’ lagi ialah pelajar praktikal terpaksa melakukan tugasan seperti pekerja tetap yang lain dan ada juga yang terpaksa membuat kerja yang lebih banyak daripada pekerja sedia ada dengan alasan sebagai persediaan ke alam pekerjaan.

Tidak dapat dinafikan kehidupan di zaman yang serba mencabar ini memang memerlukan pengorbanan dan penghargaan. ‘Win-win situation’ perlu diambil kira yang mana pelajar praktikal dapat menimba ilmu dan menjalani latihan sebelum ‘terjun’ ke alam pekerjaan sebenar dan syarikat membayar setiap usaha pelajar praktikal yang sedikit sebanyak sebenarnya telah membantu melancarkan urusan syarikat.

Semoga cadangan YB Syed Saddiq ini mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak Perdana Menteri dan Ahli-ahli Kabinet yang lain.


Sumber: Twitter

Maybe you're interested :

Share

Video Popular