Tindakan seorang pensyarah yang memutuskan untuk membotakkan kepalanya demi tanda sokongan terhadap seorang pelajarnya telah membuatnya pelajarnya, Richelle, 20, menangis terharu.

“Tidak sangka dia (pensyarah) sanggup mengubah imej demi menunjukkan tanda sokongan terhadap saya,” ulas penuntut Ijazah Sarjana Muda Pemasaran di Universiti Malaysia Sabah itu.

UMS

Pensyarah berkenaan, Dr Bamini KPD Balakrishnan, 39, mengetahui berita kesakitan pelajarnya itu sejak Februari lalu dan memutuskan untuk membotakkan kepalanya pada minggu lalu kemudian mengirimkan pesanan bergambar kepada Richelle.

“Selepas menerima kiriman gambar di WhatsApp, saya terus menghubunginya dan menangis kerana sedih dengan sokongan diberikan.

“Kami memang mengenali satu sama lain, cuma jarang berinteraksi namun saya hargai pengorbanannya dan hanya tuhan dapat membalas kebaikannya itu.

“Semalam, dia (Dr Bamini) datang melawat saya dan saya gembira kerana sempat meluangkan masa serta mengambil gambar bersamanya,” kata Richelle kepada Harian Metro.

Richelle yang berasal dari Beluran, Sabah itu juga ada menyimpan harapan tinggi untuk kembali sembuh bagi menamatkan pengajiannya di universiti yang tertangguh kerana masalah kesihatannya itu.

“Pada mulanya, saya dapat menerima hakikat (menghidap barah tulang) tetapi mula hilang keyakinan diri selepas dua minggu sesi rawatan kemoterapi pertama kerana mengalami keguguran rambut serius ketika itu.

“Disebabkan tidak mahu individu sekeliling memandang pelik, saya ambil keputusan untuk memakai rambut palsu, tetapi kini lebih selesa tanpanya (botak).

“Diharap, pesakit barah lain tidak patah semangat kerana masih ada peluang untuk sembuh selagi kita bernyawa,” katanya memberi semangat kepada semua pengidap penyakit yang sama.

Sementara itu, Bamini mengatakan bahawa ini adalah salah satu keputusan yang paling tidak masuk akal yang pernah dilakukannya, tetapi dalam masa yang sama beliau langsung tidak menyesalinya.

Bamini Kpd Balakrishnan|Facebook

“Selain cemerlang dalam pelajaran, Richelle turut aktif dalam kegiatan kokurikulum, namun diduga dengan penyakit barah dan sel (barah) itu sudah merebak ke paru-paru sebelum dia menjalani rawatan kemoterapi pertama pada awal Mac lalu.

“Rawatan berkenaan menyebabkan Richelle keguguran rambut dan keadaannya itu mendorong saya membotakkan kepala supaya dia tahu saya ada bersamanya.

“Saya botakkan kepala pada Khamis lalu dan pemilik salon berkenaan tidak mengenakan bayaran selepas mengetahui niat sebenar saya membotakkan kepala,” tambah Bamini.

Sumber: Harian Metro

Maybe you're interested :

Share

Video Popular