Seorang lelaki dilaporkan terjun dari feri pada 18 Julai jam 7.22 malam di perairan Butterworth kerana tertekan dengan sikap isteri dan masalah kewangan yang dihadapi.

Walau bagaimanapun, lelaki berusia 36 tahun dan mempunyai dua orang anak hasil 10 tahun perkahwinan itu sempat diselamatkan dan dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut.

Gambar Hiasan | Ameen Fahmy – Unsplash

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara mengesahkan kejadian itu dan menyatakan  bahawa lelaki berkenaan pada mulanya menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Butterworth, tetapi di dalam perjalanannya menaiki feri ke Georgetown, lelaki itu tidak turun di destinasi dan kekal berada di dalam feri sebelum feri berpatah semula ke Butterworth.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan perairan Butterworth, lelaki itu terjun dari bahagian belakang tingkat atas feri terbabit,”  katanya.

Lelaki tersebut berjaya diselamatkan oleh pasukan bantuan selepas kapten feri melaporkan kepada menara kawalan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan bertindak demikian kerana tidak tahan dengan sikap isteri yang mengawalnya hingga mereka kerap bergaduh.

“Selain itu, dia juga mendakwa mengalami masalah kewangan kerana perniagaan dijalankannya agak merosot,”  tambahnya.

Polis kemudian menghubungi adik lelaki berkenaan bagi memaklumkan kejadian itu dan menemani lelaki itu ke HKB bagi mendapatkan rawatan. Kini, lelaki itu dalam keadaan yang stabil dan dirujuk kepada doktor psikologi untuk rawatan susulan.

Kes ini seterusnya akan disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular