Polis pada hari Jumaat lalu menyiasat niat suspek yang dipercayai membakar bangunan animasi syarikat Kyoto Animation pada Khamis lalu yang menyebabkan 33 orang maut, 35 orang cedera dan beberapa orang dalam keadaan kritikal.

Kyodo News-AP

Menurut portal Citynews 1130, akhbar dan laporan saksi di Jepun mendakwa bahawa suspek, Shinji Aoba, 41, menyimpan dendam terhadap syarikat berkenaan.

Walau bagaimanapun, pihak polis di Jepun hanya menyatakan bahawa suspek berasal dari kawasan berdekatan Tokyo dan tidak bekerja di syarikat berkenaan serta kini sedang dirawat di hospital kerana kesan terbakar yang teruk dan masih belum boleh bercakap.

Penyiar Jepun NHK dan media lain, yang mengutip sumber yang tidak disebut namanya, berkata bahawa sebelum ini suspek pernah dipenjara selama tiga setengah tahun kerana merompak sebuah kedai serbaneka pada tahun 2012 dan hidup dengan bantuan kerajaan.

Sumber berkenaan turut mendakwa bahawa suspek membakar bangunan berkenaan kerana dia menganggap bahawa syarikat itu telah mencuri novel.

EPA-EFE

Walau bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada suspek ada menghubungi syarikat berkenaan sebelum insiden ini berlaku.

Ketua Polis Wilayah Kyoto, Hideto Ueda menggambarkan insiden tidak berperikemanusiaan ini sebagai insiden yang “belum pernah terjadi sebelum ini dan tidak boleh dimaafkan.”

Di Jepun, insiden tembakan rambang sememangnya jarang sekali berlaku, tetapi sejak kebelakangan ini siri pembunuhan berprofil tinggi sering berlaku. Misalnya, beberapa bulan yang lalu, seorang lelaki yang digambarkan sebagai pertapa sosial, atau “hikikomori”, menikam beberapa orang pelajar sekolah swasta di tempat menunggu bas di luar Tokyo, yang menyebabkan dua orang maut dan 17 orang cedera sebelum suspek membunuh diri.

AP Photo/Jae C. Hong

Selain itu, pada tahun 2016, seorang bekas pekerja di rumah jagaan orang kurang upaya didakwa telah membunuh 19 orang dan mencederakan lebih daripada 20 orang.

Menurut seorang profesor kriminologi Universiti Rissho, Nobuo Komiya, insiden sebegini digelar sebagai “keganasan yang membunuh diri” di mana penyerang biasanya melihat diri mereka sebagai orang yang gagal dalam kehidupan dan melepaskan kemarahan mereka kepada masyarakat yang lazimnya kelihatan gembira dan berjaya dalam kehidupan.

“Mereka fikir mereka tidak akan kehilangan apa-apa, mereka tidak peduli jika mereka tertangkap atau jika mereka mati,” tambah Komiya.

Sumber: Citynews 1130

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular