Pada zaman sekarang, agak sukar untuk kita melihat sendiri haiwan liar yang tinggal di hutan belantara, misalnya harimau, melainkan anda pergi melawat ke zoo.

Tiada siapa yang mahu terselisih dengannya, bukan? Namun, kebelakangan ini, ada sahaja berita mengenai penampakan haiwan liar di kawasan yang dihuni oleh manusia.

Ini menandakan bahawa haiwan liar ini mungkin tersesat ataupun mahu mencari habitatnya yang baru. Baru-baru ini, penduduk tempatan di Dungun, Terengganu gempar apabila terdapat dua ekor harimau belang didapati berkeliaran berhampiran Kampung Besul, Bukit Besi pada pagi 18 Julai.

@999Malaysia/Twitter

Seorang penduduk kampung, Mohamad Harun, 61 tahun berasa cemas apabila berasa dijilat oleh haiwan berbulu pada bahagian belakang pinggangnya ketika dia bersama anaknya yang berusia 22 tahun sedang membaiki rumah pada jam 9 pagi.

Tetapi apabila menoleh, dia yang pada mulanya menyangka haiwan tersebut adalah kucing, terus terperanjat apabila mendapati haiwan dimaksudkan itu sebenarnya merupakan seekor harimau belang.

Mujurlah dia dan anaknya itu sempat berlari menyelamatkan diri di dalam rumah. Selain itu, dua ekor harimau tersebut juga difahamkan telah mengejar beberapa penduduk kampung lain yang sedang menunggang motosikal sebelum penemuan itu dilaporkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

@999Malaysia/Twitter

Harimau berkenaan dilihat sedang kelaparan namun tidak bertindak agresif ketika berdekatan dengan penduduk.

@999Malaysia/Twitter

Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd Yusof, harimau yang dipercayai betina dan anak jantannya itu berkemungkinan haiwan yang dipelihara kerana jinak.

Ataupun mungkin harimau itu jinak disebabkan oleh faktor penyakit yang menyebabkannya kelihatan kurang bertenaga namun ia tidak dapat dipastikan selagi harimau tersebut belum ditangkap untuk diperiksa.

Tambah Dr. Abdul Malek, seramai 20 orang kaki tangan Perhilitan telah dikerah untuk mengesan dan menangkap harimau berkenaan.

Walau bagaimanapun, penduduk kampung diminta menghentikan sebarang aktiviti hutan bagi mengelakkan risiko diserang oleh harimau. “Jika terserempak, jangan cuba bertindak berani dengan mendekatinya kerana bimbang akan diserang haiwan itu yang merasakan dirinya terancam,” akhirnya.

Sumber: @999Malaysia/Twitter

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular