Secara umumnya, Malaysia menjadi habitat kepada ratusan spesies flora dan fauna. Sungguh mengagumkan, bukan? Beriklim khatulistiwa, di sini sahaja kita dapat saksikan sendiri berbagai-bagai jenis haiwan dan tumbuhan.

Apa yang mengujakan baru-baru ini adalah, sepasang paus (orca atau lebih dikenali sebagai paus pemangsa) telah dikenal pasti berada di perairan Semenanjung Malaysia buat kali pertama dalam sejarah.

PXHere/Gambar Hiasan

Ia telah disaksikan oleh kakitangan Petronas di Kerteh, Terengganu yang merakamkan detik paus berkenaan berenang berhampiran dengan platform Pelantar Dulang Petronas pada 16 Julai lalu.

Menurut laporan Bernama, Mohd Tamimi Ali Ahmad selaku Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, mengesahkan kejadian tersebut menerusi satu kenyataan yang telah dikeluarkan.

BERNAMA|Facebook

Berdasarkan rekod FRI Rantau Abang ataupun Jabatan Perikanan Malaysia, ikan paus pemangsa tersebut tidak pernah muncul di perairan Terengganu namun pada 16 Julai lalu adalah rekod pertama paus itu muncul di perairan ini,” jelasnya.

“Kami percaya dua ekor mamalia tersebut terdiri daripada ikan paus jantan dan betina,” tambahnya. Ukuran paus tersebut dianggarkan sepanjang 6-8 meter manakala beratnya mencecah 5,000-6,000 kilogram setiap seekor.

BERNAMA|Facebook

Walau bagaimanapun, menurut Mohd Tamimi, paus itu merupakan salah satu haiwan yang paling digeruni kerana berada di senarai teratas haiwan pemangsa di dalam rantaian makanan ekosistem marin. Sotong, penyu, ikan yu, burung, anjing laut dan dolphin merupakan antara hidangannya.

Mohd Tamimi turut menyatakan bahawa mamalia tersebut merupakan spesies yang dilindungi melalui penguatkuasaan Seksyen 27, Akta Perikanan 1985 mengenai Mamalia Akuatik atau Penyu di Perairan Perikanan Malaysia dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 (Pindaan) 2019.

Sesiapa yang menemui mana-mana spesies haiwan marin terancam sama ada hidup ataupun telah mati, sila laporkan kepada Pejabat Perikanan Daerah atau Negeri atau mana-mana FRI terdekat agar tindakan sewajarnya boleh diambil segera.

Berikut merupakan rakaman video paus Orca tersebut:

Sumber: Bernama|Facebook

Maybe you're interested :

Share

Video Popular