WASHINGTON– Seorang pengamal Falun Gong yang dianiaya di China kerana kepercayaannya adalah antara 27 orang mangsa penindasan agama yang mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump di Rumah Putih pada 17 Julai.

Yuhua Zhang, 59 tahun telah dipenjarakan dan diseksa berkali-kali di China selama 7 setengah tahun kerana enggan melepaskan kepercayaan ‘Sejati, Baik, Sabar’ sebelum melarikan diri ke Amerika Syarikat pada tahun 2015.

The White House/ YouTube

Falun Gong adalah amalan meditasi tradisional dari China telah menerima penganiayaan secara kejam oleh rejim komunis China selama 20 tahun. Sepanjang amalan itu diharamkan di China, ratusan ribu pengamalnya telah ditahan di penjara, kem buruh, dan kem pendidikan semula, di mana ramai yang telah diseksa dan dianiaya dalam usaha untuk memaksa mereka meninggalkan kepercayaan itu, demikian menurut anggaran oleh Pusat Informasi Falun Dafa.

Presiden Trump bertemu dan mendengar masalah Yuhua Zhang serta beberapa mangsa penindasan agama dari 17 negara, termasuk China, Korea Utara, Iran, Pakistan dan Myanmar untuk mengesahkan komitmen pentadbirannya terhadap kebebasan beragama, seperti yang dinyatakan oleh jurucakap Rumah Putih.

Kehadiran Zhang di Rumah Putih menandakan buat pertama kali seorang pengamal Falun Gong dapat bertemu dengan pemerintah tertinggi negara itu menerusi satu pertemuan rasmi.

Semasa berkumpul di meja Presiden Trump di Pejabat Oval, Zhang sempat memberitahu bahawa suaminya yang  juga seorang pengamal Falun Gong, sedang dipenjarakan di Penjara Suzhou di Wilayah Jiangsu, China.

The White House/ YouTube

“Pengambilan organ secara paksa masih wujud, jadi kita harus mengambil tindakan. Kata-kata sahaja tidak berfungsi,” kata Zhang kepada Presiden Trump.

Zhang turut memberitahu Presiden Trump mengenai terdapat pengamal lain yang dipenjarakan di kem tahanan yang sama dengannya telah meninggal dunia sehari selepas dibebaskan. Sebelum meninggal dunia, mangsa telah muntah darah dengan banyak.

Dalam pertemuan itu, Presiden Trump berkata, “Setiap seorang daripada kamu telah menderita kerana mengamalkan kepercayaan masing-masing. Anda semua kini menjadi saksi kepada kepentingan untuk meneruskan perjuangan kebebasan beragama di seluruh dunia.”

Mereka adalah wakil di kalangan mangsa yang terselamat yang kini berada di Washington untuk mengambil bahagian dalam persidangan ‘Ministerial to Advance Religious Freedom’ yang dihoskan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat. Persidangan yang berlangsung selama 3 hari, bermula 16 hingga 18 Julai, merupakan acara persidangan kebebasan beragama terbesar di dunia.

The White House/ YouTube

Duta Besar Amerika Syarikat untuk Kebebasan Beragama Antarabangsa, Sam Brownback berkata pentadbiran akan mengumumkan ‘langkah tambahan’ mengenai usaha kebebasan beragama pada persidangan yang berakhir pada 18 Julai, dan ia akan dibincangkan dalam ucapan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo dan Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence.

Yuhua Zhang adalah bekas profesor dari Universiti Nanjing berkata dalam ucapannya pada persidangan 17 Julai bahawa dia telah diseksa dengan agak kejam dan teruk semasa ditahan di China. Ini termasuk dikenakan kejutan elektrik, dihalang daripada tidur, disuntik secara paksa dengan ubat-ubatan yang tidak diketahui, dan terpaksa berlari selama berjam-jam di bawah sinaran matahari terik.

Suami Zhang bernama Zhengyu Ma merupakan seorang jurutera yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 3 tahun di Penjara Suzhou, Wilayah Jiangsu, kerana tindakannya menghantar surat kepada pemimpin tertinggi rejim yang menyeru supaya mereka mengakhiri penganiayaan. Zhang tidak pernah mendengar sebarang berita mengenai suaminya sejak dijatuhkan hukuman pada tahun 2017.

Zhang berkata, “Saya berasa bimbang siang dan malam akan keselamatan suami saya. Dia mungkin boleh diseksa sehingga mati sama seperti ribuan pengamal Falun Gong yang lain. Dia mungkin boleh dibunuh untuk organnya sama seperti bilangan pengamal Falun Gong yang hilang dan tidak diketahui jumlahnya.”

Samira Bouaou/The Epoch Times

Zhang merujuk kepada tuduhan dan dakwaan lama, berdasarkan bukti dari pelbagai sumber yang menunjukkan bahawa rejim China telah membunuh pengamal Falun Gong yang dipenjarakan untuk menuai organ mereka bagi tujuan pemindahan organ.

Tuduhan-tuduhan yang telah disahkan oleh penyelidik bebas dalam laporan yang dikeluarkan pada tahun 2006, diikuti oleh laporan lanjut yang mengesahkan dengan lebih terperinci melalui penyebaran gambar penganiayaan secara meluas.

Pada bulan lalu, sebuah tribunal bebas telah mengesahkan dalam satu penghakiman selepas penyiasatan selama setahun akan dakwaan itu yang mendapati bahawa pengambilan organ secara paksa telah berlaku di China selama bertahun-tahun “pada skala yang besar dan ketara,” dan ia masih berlaku. Penghakiman itu menambah bahawa pengamal Falun Gong mungkin sumber utama dalam industri pemindahan organ di China.

Mark Zou/The Epoch Times

Zhang secara aktif memperjuangkan pembebasan suaminya sejak dia tiba di Amerika Syarikat dan menyeru kerajaan Amerika Syarikat untuk mengenakan sekatan di bawah Akta Global Magnitsky kepada pegawai China yang diketahui telah menahan, menyeksa, dan membunuh pengamal Falun Gong secara haram.

Menurut Zhang, “Kebanyakan pelaku terus bekerja di China dan telah dinaikkan pangkat atas usaha mereka menganiaya para pengamal Falun Gong.”

“Saya berharap kerajaan Amerika Syarikat, media antarabangsa, dan kumpulan hak asasi manusia dapat membantu membebaskan suami saya serta ratusan ribu pengamal Falun Gong lain yang tidak bersalah tetapi telah ditahan dan dipenjarakan,” kata Zhang.

Tonton video di bawah:

The White House/ YouTube

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular