PUTRAJAYA – Sekitar 2,000 pusat dobi layan diri yang beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia dan juga Sabah dilaporkan tidak memiliki kebenaran dan lesen gas individu yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST). Hal ini secara tidak langsung boleh mendatangkan letupan ekoran tidak berjaya mendapatkan kelulusan dan lesen pengoperasian.

Menurut Timbalan Pengarah Pemasangan dan Peralatan Gas ST iaitu Ir Shamsuddin Arshad, sehingga kini hanya terdapat anggaran 427 mesin dobi layan diri yang beroperasi dan didaftarkan di bawah ST. Sementara itu, di bawah Akta Bekalan Paip 1993 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 1997 dengan jelas menyatakan bahawa semua premis yang didapati menggunakan sistem gas berpaip khususnya gas petroleum cecair perlu mendapat kelulusan dan lesen daripada pihak ST sebelum memulakan operasi. Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh mengakibatkan denda maksimum RM100,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

“Tahun lepas ada dua kes kemalangan gas yang telah dilaporkan kepada ST iaitu pada 11 April di Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur yang mengorbankan seorang pelanggan wanita dan pada 4 Oktober yang mengakibatkan dua beranak terbakar tubuh badan sebelum si bapa meninggal dunia”.

“Kedua-dua kemalangan itu berpunca daripada kebocoran pada pemasangan sistem gas berpaip yang tidak mendapat kelulusan dan tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh ST,” katanya lagi.

Gambar Hiasan | Astro AWANI

Memetik kenyataan Shamsuddin kepada Sinar Harian, beliau memaklumkan bahawa premis dobi konvensional menggunakan tenaga elektrik bagi tujuan pengeringan namun berbeza pula dengan dobi layan diri yang menggunakan gas bagi menjimatkan kos.

“Dalam tiga, empat tahun ini dobi layan diri tumbuh seperti cendawan. Sebelum ini kami tidak tahu dobi-dobi itu menggunakan sistem gas berpaip kerana semuanya tersorok di dalam, apabila berlakunya letupan pertama, ‘pecah rahsia’ mereka”.

Ujarnya lagi, “Ada premis dobi tidak mengikut spesifikasi standard minimum yang diperakui ST dan gagal membuat servis dan penyelenggaraan. Lama-lama paip berkarat dan kebarangkalian untuk kebocoran itu ada. Bila gas berkumpul dan sampai ke satu tahap dalam ‘lower explosive limit’ (LEL), ia akan meletup bila suis diketik”.

Pihak ST kini sedang dalam proses untuk menerbitkan garis panduan pemasangan sistem gas berpaip kepada premis-premis dobi layan diri demi memastikan keselamatan orang awam tidak terjejas.

Sebagai peringatan, pengusaha dobi layan diri diminta untuk mendapatkan Kelulusan untuk Memasang (ATI), Kelulusan Untuk Mengendali (ATO) dan Lesen Gas. Hal ini bertujuan untuk memastikan reka bentuk sistem paip gas dipasang mengikut piawaian yang ditetapkan oleh ST sekali gus membolehkan proses pengendalian berjalan dengan selamat.

Sumber: Bernama, Sinar Harian

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular