KUALA LUMPUR: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dilaporkan sudah bercerai dengan wanita warga Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko, baru-baru ini.

Memetik laporan New Straits Times hari ini, sumber mengesahkan penceraian pasangan tersebut dikeluarkan pada 1 Julai lalu, berikutan pemfailan cerai di Mahkamah Syariah pada 22 Jun.

Terdahulu tular di laman sosial pasangan yang dilaporkan berkahwin pada 7 Jun tahun lalu telah bercerai talak tiga.

Isnin lalu tersebar sekeping sijil perceraian menunjukkan wanita Rusia Rihana Oksana, 26, sah diceraikan talak tiga.

Memetik Astro Awani, sijil perceraian itu didaftarkan 1 Julai lalu selepas proses perceraian Rihana bertarikh 22 Jun di Singapura.

Sijil penceraian yang dilengkapi dengan nombor siri itu turut menyatakan penceraian itu sudah mendapat kelulusan dari Mahkamah Syariah.

Sementara itu, media Moscow yang turut dipetik Daily Mail melaporkan perkahwinan Rihana bergolak pada 24 Januari lalu.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan bapa Rihana, Andrey Gorbatenko.

Sementara itu Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata, buat masa ini kerajaan negeri tiada maklumat rasmi berkaitan isu berkenaan.

Semalam, Istana Kelantan memaklumkan tiada sesiapa boleh digelar Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, Sultanah Kelantan atau ‘Queen of Kelantan’ tanpa sebarang pengumuman rasmi pihak Istana. 

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dalam satu kenyataan berkata, hanya pengumuman rasmi daripada Istana Kelantan yang boleh diambil kira sebagai berita yang tepat dan boleh diterima pakai oleh rakyat dan pengamal media.

Pengumuman berkenaan merupakan kenyataan pertama dari Istana Kelantan selepas lapan bulan berkaitan khabar angin melibatkan Sultan Muhammad V dan perkahwinannya, dengan Ratu Moscow yang berusia 26 tahun.

Kisah model jelita yang dinobatkan sebagai Ratu Moscow 2015 itu mula diketahui umum selepas tersebarnya gambar dan video berlangsungnya majlis perkahwinan dipercayai berlangsung di Rusia pada November 2018.

Bagaimanapun enam bulan kemudian portal turut melaporkan bahawa wanita itu melahirkan seorang anak lelaki pada 21 Mei 2019.

Terbaru, sebuah akaun Instagram yang menggunakan nama ‘rihanapetra’ sering memuat naik kisah peribadinya termasuk perkenalan dan bibit percintaan bersemi sejak pertemuan pertama kali pada musim bunga 2017 di Eropah.

Malah, sehari sebelum sambutan Aidilfitri, pemilik akaun berkenaan berkongsi berita gembira mengenai kelahiran sulung yang diberi nama Tengku Ismail Leon Petra Tengku Muhammad V Farid Petra yang disifatkannya sebagai ‘bakal raja Kelantan’.

Sumber: NSTP, Astro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular