Kisah golongan OKU bekerja keras untuk menyara kehidupan sering mendapat perhatian kerana kesungguhan mereka mencari rezeki meskipun mempunyai pergerakan yang terbatas akibat keupayaan mereka.

Satu perkongsian daripada seorang lelaki di Facebook, Baliami Conmigo berkenaan penghantar makanan Food Panda orang kurang upaya (OKU) telah meruntun jiwa netizen.

Menurut Baliami atau nama sebenarnya, Mohamad Baliami Kastua, memang menjadi rutinnya setiap hujung minggu untuk membuat pesanan makanan melalui Food Panda kerana dia tinggal di tingkat 14 sebuah flat.

Satu hari, seperti hujung minggu biasa dia memesan dua ketul ayam daripada restoran rangkaian makanan segera melalui aplikasi Food Panda. Bagaimanapun dia harus menunggu agak lama kerana lokasi restoran itu agak jauh dari rumahnya dan mengambil masa 45 minit untuk sampai.

Baliami yang bekerja sebagai jururawat di Klinik Pergigian Dato’ Keramat, Kuala Lumpur berkata, setelah penghantar Food Panda itu tiba, dia agak terkejut dengan keadaan dirinya yang tidak sempurna namun gigih naik ke tingkat 14 untuk menghantar hanya dua ketul ayam.

Dengan keadaan kaki yang terhincut-hincut, lelaki OKU itu yang dikenali sebagai Amri gigih naik ke tingkat 14 dengan menggunakan tongkat untuk menghantar makanan yang dipesan.

“Saya rasa amat bersalah kerana tak tahu keadaannya (Amri) sehinggalah dia muncul di depan pintu rumah.

“Jika saya tahu, (saya) sendiri turun ke bawah ambil makanan itu. Kami sempat berbual cuma tak lama sebab dia perlu beredar,” katanya.

“Ketika saya pergi untuk mendapatkan wang, saya berasa sedih dan terperanjat apabila melihatnya, jadi saya memutuskan untuk membayarnya lebih,” tulis Baliami, sambil menambah Amri berkata bahawa wang itu terlalu banyak.

Oleh kerana terharu dengan kegigihan dan kesungguhan Amri, dia mengambil video ketika Amri beredar dengan menggunakan tongkat. Baliami memuat naik video tersebut ke Facebook dan tidak menyangka video dan perkongsiannya itu menjadi tular.

Baliami Conmigo|Facebook

Menurut Amri yang berusia 42 tahun, dia tidak mengetahui tentang video tular berkenaan. “Saya tak tahu mengenai perkara itu (video yang tular), tapi terima kasih kepada pelanggan dan semua yang memberikan sokongan,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Menurutnya lagi, selepas syarikat lamanya menghentikan operasi, dia tiada pilihan kecuali mencari pekerjaan baharu dan dia bersyukur kerana diterima bekerja di syarikat perkhidmatan penghantaran makanan itu walaupun kaki kanannya kudung akibat kemalangan jalan raya 22 tahun lalu.

Sepanjang empat bulan berkhidmat di syarikat berkenaan, Amri tidak berdepan sebarang masalah sebaliknya mendapat layanan yang baik daripada majikan serta pelanggan.

“Apa boleh saya katakan, rakyat Malaysia amat prihatin dan amat memahami keadaan saya yang berstatus orang kurang upaya (OKU), jadi tidak timbul masalah dalam soal kerja,” katanya.

Sumber: Baliami Conmigo|Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP VIDEO

Video Popular